Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 JULAI 2024 : “Bawa semangat pahlawan Mat Kilau dan Tok Gajah ke SUKMA Sarawak 2024” itu amanat yang disampaikan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal .
Amanat tersebut telah disampaikan pada Program Kem Atlet Golden Elephant Warrior Camp 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis.
“Kita adalah pewaris Mat Kilau dan Tok Gajah, bawalah semangat perjuangan pahlawan besar ini ke bumi Sarawak, berjuang bermati-matian demi Pahang Darul Makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menitipkan amanat kepada 564 atlet Pahang (323 atlet lelaki dan 241 atlet wanita) dan 46 pengurus pasukan serta 123 jurulatih pada Program Kem Atlet Golden Elephant Warrior Camp 2024, semalam.

Hadir sama ialah Ketua Kontinjen Pahang Ke SUKMA Sarawak 2024, YHM Tok Muda Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah Dato’ Munir bersama barisan Jawatankuasa Pengurus dan Teknikal Majlis Sukan Pahang (MSP) termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Tuan Mohd Sharim Md. Zain, Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Razihan Adzharuddin, Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail, Pegawai Daerah Jerantut, YH. Dato’ Sharuddin Jali dan Pengarah MSP, YBrs Encik Mu’azamir Haji Jili.
Kontinjen SUKMA Pahang seramai 733 orang akan menyertai 308 acara daripada 488 acara yang dipertandingkan dengan mensasarkan sebanyak 40 kutipan pingat emas, 19 perak dan 64 gangsa dengan kedudukan tempat kelima.

YB. Tuan Fadzli berkata, para atlet dan jurulatih turut menunjukkan semangat luar biasa pada Program Kem Atlet Golden Elephant Warrior Camp 2024.
Katanya, peserta kontinjen perlu berjuang sehabis baik selepas berkorban dan kesungguhan ditunjukkan selama dua tahun sebagai persiapan kepada temasya SUKMA 2024 di Sarawak pada Ogos nanti.
Jelasnya, Kerajaan Pahang telah berusaha sebaik mungkin untuk menyokong dan membantu para atlet serta jurulatih bagi menjayakan pelbagai usaha ke arah melahirkan atlet yang cemerlang.
“Saya menyatakan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang untuk menepati sasaran 40 pingat emas yang telah kita sasarkan di SUKMA Sarawak nanti dan saya juga menyatakan kepada atlet harapan tersebut, harapan yang menggunung tinggi setelah mereka bersusah-payah mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran berlatih dalam tempoh dua tahun ini untuk memastikan persediaan yang rapi dapat dibuat untuk mendapat pingat di SUKMA Sarawak,” katanya. – PAHANGMEDIA

