Oleh : Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
MARAN, 23 JULAI 2024 : “Alhamdulillah, saya sangat bersyukur menerima bantuan ini kerana masih ada lagi biaya kami untuk belanja,” ujar Puan Meklimah yang merupakan salah seorang penerima Barakah Haji Negeri Pahang.
Puan Meklimah Zaid Mat Yusoff, 53, yang berasal dari Kampung Berhala Gantang, Temerloh, sangat bersyukur dengan bantuan haji yang diterima seperti jemaah haji yang lain sebelum ini.

“Alhamdulillah, sekarang giliran kami untuk menerima bantuan haji ini. Saya benar-benar bersyukur dan berterima kasih atas pemberian ini.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang yang memberikan sumbangan kepada para jemaah haji yang telah pun melaksanakan ibadah haji pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, bagi Encik Hyad Fazhar Syed Omar, 49, yang berasal dari Kampung Teluk Sentang, Kerdau, berkata, menerima sumbangan Barakah Haji Negeri Pahang adalah sesuatu yang sangat mengembirakan dan melegakan dirinya.

“Kami berasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sumbangan yang diberikan.
“Sebanyak mana pun sumbangan yang diberikan, ianya dapat meringankan urusan kewangan kami. Kami sangat-sangat berterima kasih,” katanya.
Encik Azmee Talib, 65, yang merupakan penerima dari Taman Desa Damai, Bentong, turut melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Pahang di atas sumbangan yang diterimanya hari ini.

“Kerajaan Negeri Pahang sangat prihatin kepada rakyat membuatkan saya rasa gembira dan dihargai. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang khususnya kepada Menteri Besar Pahang,” katanya.
Kesemua 150 penerima sumbangan Barakah Haji Pahang telah menerima RM750 seorang berserta pek makanan sedia di makan yang disampaikan oleh wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Turut menerima bantuan adalah dua ADUN dari Parti PAS iaitu ADUN Chenor, YB Tuan Mujibur Rahman Ishak dan ADUN Kuala Semantan, YB Tuan Hassanuddin Salim.
Hadir sama Pegawai Daerah Maran, YH. Dato’ Khairun Nissa Aris; Penyelaras DUN Chenor, YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; dan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Abdul Zaki Md Zain. – PAHANGMEDIA

