Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
PULAU PINANG, 8 JULAI 2024 : Seramai 336 mahasiswa anak Pahang di Universiti Sains Malaysia (USM) menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dengan jumlah keseluruhan RM134,400 yang disampaikan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal .
Menurut YB. Tuan Fadzli, bantuan BPP 2024 telah dinaikkan kepada RM400 berbanding tahun lalu sebanyak RM300 sebagai tanda penghargaan kepada anak-anak Pahang yang melanjutkan pengajian ke menara gading hasil daripada pengukuhan ekonomi di Pahang.
Justeru, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk turun ke universiti-universiti seluruh negara termasuklah USM untuk bersua kenal bersama pelajar-pelajar yang terdiri daripada anak-anak Pahang.

“Ini adalah program kedua di luar Pahang, sebelum ini di Kelantan dan kali ini di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif bertemu dengan pelajar menyampaikan bantuan ini (BPP).
“Terima kasih kepada Yayasan Pahang dan Unit Perancangan Dan Operasi Data Strategik (UPODS) Negeri Pahang atas kerjasama menganjurkan program ini.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang rasa gembira dapat bertemu dengan mahasiswa yang berada di perantauan, mereka adalah aset penting Negeri Pahang, pelapis dan penerus generasi kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2024 Kluster Siswa di Dewan Utama Desasiswa USM, Pulau Pinang.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) USM, YBrs Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, Pengarah Setara UPODS, YH. Dato’ Haji Wan Salman Wan Ismail dan Yang Dipertua PERDAMA USM, Saudara Mohamed Azrin Samah.
Dalam pada itu, YB. Tuan Fadzli berkata, Kerajaan Negeri menambah jumlah bantuan BPP Kluster Siswa sebagai memenuhi keperluan pelajar dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Beliau berharap agar mahasiswa dan mahasiswi anak Pahang yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat IPT akan dapat mencurah bakti dan tenaga di bumi Pahang kelak. – PAHANGMEDIA

