Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
PULAU PINANG, 8 JULAI 2024 : Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa 2024 peringkat Universiti Sains Malaysia (USM) yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan para mahasiswa anak Pahang.
Menurut Yang Dipertua PERDAMA USM, Saudara Mohamed Azrin Samah, bantuan BPP Siswa ini dapat membantu meningkatkan kualiti hidup dan pendidikan siswa dan siswi dalam menghadapi kehidupan sebagai pelajar agar bertambah baik.
“Saya percaya dan yakin penerima pada hari ini dapat gunakan BPP siswa ini untuk persediaan menghadapi peperiksaan kerana minggu ini adalah merupakan minggu pembelajaran untuk USM dan minggu hadapan bermulanya peperiksaan.
“Saya fikir masa sesuai untuk mereka membuat persediaan dan selepas itu cuti semester secara tak langsung dapat membina semangat keupayaan mereka untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan dan terus menghadapi peperiksaan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau turut mewakili pelajar USM mendoakan kesejahteraan YAB. Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang kini masih dalam proses penyembuhan selepas mendapat mendapatkan rawatan di Institusi Jantung Negara (IJN).
Dalam pada itu, pelajar Tai Wei Cheng, 25, berkata perjumpaan Anak Pahang ini turut mengeratkan ikatan antara anak Pahang selain dari memperoleh bantuan BPP ini yang dapat digunakan untuk menampung keperluan asas.
“Saya rasa memang bangga dan gembira boleh jumpa semua kawan dari kampung, rakan-rakan sekalian dari Kuantan. Jadi, terima kasih banyak atas bantuan ini Tok Wan,” katanya.
Sementara itu, bagi pelajar jurusan pendidikan, Yuvetha Manimaran, 24, turut menghargai sumbangan BPP Kluster Siswa ini kerana dapat membantunya menghadapi latihan mengajar.
“Saya sedang menjalani latihan mengajar jadi saya boleh menggunakan untuk membeli bahan keperluan untuk latihan mengajar dan juga membantu saya untuk transport (kenderaan) pergi latihan bekerja,” katanya.
Seramai 336 mahasiswa anak-anak Pahang daripada Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima BPP Kluster Siswa bernilai RM400 seorang yang disampaikan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal di Dewan Desa Siswa USM hari ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) USM, YBrs Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, Pengarah Setara UPODS, YH. Dato’ Haji Wan Salman Wan Ismail. -PAHANGMEDIA

