KUANTAN, 7 JULAI 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar setiap daripada rakyat mengambil ibrah dari kisah penghijrahan Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat dari Mekah ke Madinah yang menjadi detik permulaan dan membuka babak baru dalam lipatan sejarah dan peradaban Islam.
Titah baginda, pelbagai ibrah yang boleh diambil antaranya mengajar kita keberanian untuk meninggalkan zon selesa dan menghadapi ketidakpastian demi kebaikan yang lebih besar.
“Hijrah menggambarkan peralihan dari keadaan kurang aman menuju ke tempat yang lebih tenang. Seiring peredaran dan perubahan zaman, saya menyeru agar kita bersama-sama menjaga dan memelihara kesucian agama.
“Buat generasi muda terutamanya, gunakanlah platform digital dengan penuh hikmah, manfaatkan media sosial untuk menyebarkan kata-kata yang membina, yang memperkuatkan lagi tali persaudaraan dan bukan yang melonggarkan ikatan ukhwah sesama insan.
“Jadilah contoh yang baik dalam setiap perbuatan dan tindakan agar menjadi sumber inspirasi dan kebenaran, bukan sumber konflik dan kebingungan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Turut mengiring ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera.
Pada majlis berkenaan Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan mengurniakan beberapa anugerah serta Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang kepada mantan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Haji Abdul Ghani L.Sulaiman.
Dalam pada itu, Paduka Baginda Sultan Pahang dalam titah mengingatkan semua pemimpin di negeri ini agar berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada rakyat.
“Ingatlah seluruh pemimpin di bumi bertuah ini tanpa mengira apa jua fahaman politik, warna dan logo bendera bahawa setiap amanah adalah tanggungjawab kepada Allah SWT yang perlu dilunaskan dengan penuh adil dan saksama tanpa mengira siapa dan di mana.
“Tanpa memilih bulu, tanpa melihat rupa..berkhidmatlah untuk rakyat, taburlah sebesar mungkin kebaikan dan manfaat untuk negeri berdaulat ini,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

