Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 JULAI 2024 : Kerajaan memberi jaminan kuota tempat latihan khas kepada pelajar dari tiga negeri di Pantai Timur yang menjalani Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) di negara ini.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini sebanyak 5,000 kuota tempat latihan khas ditawarkan oleh 220 syarikat China kepada pelajar Malaysia yang menjalani TVET di pelbagai peringkat.
“Dan baru-baru ini dgn kehadiran premier China mulanya dia bagi tempat 1,000 di peringkat lebih tinggi TVET tetapi selepas mesyuarat dengan kita mereka setuju bagi 5,000 tempat latihan khas.
“Saya percaya daripada 5,000 itu ada tempat munasabah untuk Pahang, Kelantan dan Terengganu, jadi jangan bimbang ada perwakilan,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Peluncuran Program Madani Rakyat Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan, petang tadi.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Sri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak.
Program PMR Zon Timur itu dijangka akan dihadiri 200,000 pengunjung bagi hari kedua program itu berlangsung.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Anwar berkata, kuota itu turut merangkumi latihan jangka pendek, sederhana dan panjang menerusi TVET yang mampu mengubah keadaan ekonomi negara dalam melonjakkan industri tersebut di negara ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, perkara itu penting memandangkan aliran masuk pelaburan langsung asing negara pada suku pertama tahun ini mencatatkan sejarah tertinggi dalam negara.
Susulan itu semua pihak perlu mempersiapkan diri bagi memajukan ekonomi negara.
Tidak terkecuali pengurusan cekap di sesebuah jabatan perlu dipantau secara berkala supaya tidak ketinggalan.
Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan mock cheque Program Sejati Madani berjumlah RM100,000 kepada 10 penerima di kalangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPK) dari negeri-negeri Pantai Timur.-PAHANGMEDIA

