Oleh : Ain Nadhirah Basha & Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
KUANTAN, 06 JULAI 2024 : Kampung Angkat Madani dilihat dapat memudahkan penyampaian maklumat kepada penduduk kampung dan luar bandar mengenai program dan pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan.
YAB. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia juga mendatangkan impak lebih mampan dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Jadi bagaimana kita nak ukur kejayaan kita? Kita ukur dari peringkat bawah. Makna kalau nak tahu berjaya atau tidak, turun ke kampung tengok masalah kesihatan, pendidikan, soal keciciran, soal sakit mental, soal dadah, masalah masjid bumbung bocor, soal orang miskin tak cukup makan.
“Bagaimana kita nak tahu? Sekarang ini ada jentera kerajaan, betul, tapi kadang-kadang tak sampai maklumat. Kita ada 2,000 ke 3,000 orang, sebesar ini, dia balik kampung, dia dengar daripada jawatankuasa bersama belia, persatuan masyarakat, ketua kampung, penghulu, penggawa, semua di bawah. Tak payah panggil daripada pusat untuk turun. Mudah-mudahan dapat selesaikan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Kampung Chengal Lempong.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali; dan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob.
Beliau dalam ucapannya turut mengarahkan menteri dan para pegawai kanan untuk memilih kampung bagi dijadikan kampung angkat bagi menerangkan segala program yang dilaksanakan.
“Kita pilih ini daripada program-program pusat di mana kita terangkan tentang pelaburan, projek-projek besar. Kita sekarang turun ke kampung. Dan arahan dalam Kampung Angkat Madani ini setiap orang termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan menteri-menteri, KSN, KPPA, KSP, KSU, dan semua pegawai kanan mesti pilih kampung asal atau mana-mana kampung lain untuk jadi kampung angkat.
“Kenapa saya suruh pilih begitu? Sebab semua kita ada teori masing-masing, cakap tentang ekonomi, tentang sosial, masalah kesihatan, pendidikan,” katanya.
Sementara itu menurut Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chengal Lempong, Tuan Haji Sheikh Zahari Sheikh Sulaiman, 68, melahirkan rasa bersyukur dan terharu kerana kampungnya dipilih sebagai Kampung Angkat Madani Kebangsaan.
“Jadi dengan disahkan sebagai Kampung Angkat Madani ini sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah-masalah yang kita hadapi selama ini.
“Harapan kita supaya jika ada peruntukan-peruntukan yang disalurkan kepada Kampung Angkat ini dapat menjalankan projek-projek yang terbengkalai dan fokus utama kita kena bina tadika kemas,” katanya.
Kampung Chengal Lempong mempunyai jumlah penduduk terkini sebanyak 22,044 orang dengan anggaran seramai 3,640 keluarga telah diasaskan pada 1946 dengan nama Kampung Alor Jambu sebelum ditukar nama pada 1958. -PAHANGMEDIA

