Oleh: Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim & Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 JULAI 2024: Program Madani Rakyat (PMR) Zon Timur 2024 dilihat dapat memberi pendedahan kepada para pengunjung mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob berkata program ini membawa banyak manfaat kepada rakyat, terutama dalam merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat serta memastikan perkhidmatan terbaik sampai kepada rakyat.
“Program ini bukan sahaja merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat, tetapi juga memberi peluang kepada rakyat untuk melihat dan memahami pelbagai usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan.
“Saya yakin program ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya dalam memahami dan memanfaatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur yang diadakan di Dataran Sayangi Kuantan selama tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad.
Dalam pada itu, beliau juga menambah kehadiran hampir semua kementerian dan agensi kerajaan juga dapat memberi pendedahan kepada rakyat tentang pelbagai perkhidmatan, bantuan, dan sokongan yang disediakan.
“Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pembayaran cukai tanah dan cukai pintu, pendaftaran E-KASIH untuk mendapatkan bantuan bagi golongan miskin tegar, program dan bantuan pendidikan, serta pinjaman dan bantuan untuk usahawan.
“Program ini juga menampilkan pelbagai aktiviti seperti karnival kerjaya, pameran aset kerajaan, dan jualan MADANI dengan tawaran harga istimewa.
“Sambutan awal yang memberangsangkan menunjukkan minat dan sokongan rakyat terhadap program ini dan saya jangkakan lebih 300,000 akan hadir ke program ini,” katanya.
Program bertemakan pembangunan usahawan desa yang akan dirasmikan oleh YAB. Perdana Menteri esok turut menyediakan 34 pameran reruai dan 188 perkhidmatan dari kementerian, PSUK Negeri, dan agensi.
Turut mengambil bahagian, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang menyediakan tiga model rumah daripada suku kaum Semaq Beri, Semai, dan Batek bagi memberikan peluang unik kepada pengunjung untuk merasai kehidupan di perkampungan Orang Asli. – PAHANGMEDIA