Oleh : Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 12 JUN 2024 : Karenah birokrasi dalam pentadbiran kerajaan di negeri ini perlu dikurangkan bagi mempermudahkan proses sebarang urusan sekaligus membantu rakyat.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob menegaskan, terlalu banyak perkara yang masih boleh diperbaiki terutama dalam hal birokrasi dan keberkesanan perkhidmatan awam.

“Sebagai seorang yang berpengalaman, saya lihat kita masih perlu memperbaiki kelewatan dalam proses dan mempermudahkan usaha membantu golongan yang memerlukan.
“Kita perlu memendekkan proses dan membuat keputusan dengan cepat, bukan hanya meluluskan permohonan tetapi juga memberitahu keputusan dengan kadar segera,” katanya ketika ditemui Pahang Media selepas Majlis Perjumpaan Penjawat Awam Temerloh ‘Kita Seia Sekata’, di Dewan Tun Razak di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YH. Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, YH. Dato’ Fadzilla Salleh dan Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Zulkifli berkata di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti majlis perbandaran, majlis daerah, dan majlis bandaraya, pihaknya mendapati proses untuk mendapatkan kebenaran merancang masih terlalu lambat.
“Walaupun kita ada pusat setempat (One Stop Center atau OSC), prosesnya masih lambat. Mengapa perlu lambat?” soalnya.
Beliau menegaskan, penjawat awam perlu lebih efisien dalam mengendalikan mesyuarat pusat setempat (One Stop Center atau OSC) tidak melebihi satu jam dan mesti dijalankan secara profesional agar dapat membuat keputusan yang lebih cepat.
Beliau juga menekankan bahawa semua majlis daerah perlu mengikuti contoh MBK (Majlis Bandaraya Kuantan) yang telah lama meluluskan lesen perniagaan dalam masa yang singkat.
“Pelabur mengeluh tentang kelambatan di peringkat tempatan, bukan di peringkat negeri. Oleh itu, kita perlu mencari penyelesaian,” katanya. –PAHANGMEDIA

