Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 JUN 2024 : Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melupuskan 10 tan abu Al-Quran yang dilepaskan ke laut di kedudukan sekitar 10 batu nautika dari Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, di sini.
Semua abu berkenaan diletakkan berasingan dalam 19 beg plastik dalam bentuk bongkah dan dibawa menggunakan kapal KD PAHANG milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kira-kira jam 10.30 pagi ke kawasan laut berkenaan.
Pengarah JAIP, Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz berkata, kesemua abu yang dilupus di laut merupakan sebahagian daripada 50 tan Al-Quran yang telah dibakar di dua pusat pelupusan.

“Alhamdulillah hari ini kita telah berjaya melupuskan 10 tan Al-Quran daripada 50 tan yang telah kita bakar sebelum ini di dua pusat pelupusan iaitu di Pekan dan Chenor yang mana kita berjaya lupuskan di laut hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Pelupusan Abu Al-Quran Ke Laut Jabatan Agama Islam Pahang ( JAIP) Bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM, Tanjung Gelang, Kuantan.
Hadir sama ialah AKS Peperangan, Kapten Nasrol Hakim Jamaludin TLDM, Pegawai Memerintah KD PAHANG, Komander Khairul Nizam Abdul Khaleq dengan disertai kakitangan daripada agensi-agensi terlibat iaitu JAIP, TLDM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Pahang dan SWCorp Negeri Pahang.
Dalam perkembangan lain, Dato’ Dr. Haji Zulkifle berkata, pihaknya kini sedang meneliti penggunaan kaedah pelupusan Al-Quran menerusi “deinking” iaitu melunturkan dakwat daripada bahan-bahan bercetak Al-Quran.

“Teknologi baru yang sedang diusahakan, belum dilaksanakan sepenuhnya lagi, baru percubaan untuk mendapatkan pendekatan baru bagaimana melupuskan Al-Quran tanpa membakarnya iaitu “deinking” dengan menghilangkan dakwat.
“Yang keduanya kertas-kertas tadi boleh dikitar semula mungkin untuk kegunaan cetakan Al-Quran atau pun bahan-bahan berkait Al-Quran atau apa sahaja yang dapat kita jaga kemurniaan bekas-bekas Al-Quran,” katanya.
Teknologi yang akan dilaksanakan ini akan dapat memastikan penggunaan kos yang optimum dan menjimatkan selain melestarikan alam sekitar menerusi kaedah kitar semula bahan-bahan kertas yang telah dinyahdakwatkan.
Sementara itu beliau turut meningatkan orang ramai yang ingin melupuskan Al-Quran yang sudah usang dan reput agar menggunakan kaedah yang betul bagi menjaga kemurniaan ayat suci Al-Quran.
“Kita tidak menggalakkan lupuskan (Al-Quran) sendiri kerana kita bimbang jika bahan tersebut tidak diurus dengan baik, boleh diurus sendiri juga contohnya dibakar dan ditanam di tempat yang selamat daripada laluan orang ramai supaya tidak hilang tanda penghormatan kita terhadap Al-Quran,” katanya. – PAHANGMEDIA

