Oleh: Fairus Mohd dan Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
CAMERON HIGHLANDS, 10 JUN 2024: Cameron Highlands, destinasi pelancongan yang terkenal dengan cuaca yang sejuk dan nyaman juga turut menarik minat pemain golf ke Kelab Golf Sultan Ahmad Shah (KGSAS) dengan cabaran-cabaran unik yang menjadikan pengalaman bermain yang menarik.
Menurut Ahli Jawatankuasa Kelab Golf Sultan Ahmad Shah Cameron Highlands, Dato Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid, pemain profesional yang pernah bermain di sini mengakui bahawa padang ini sangat mencabar dan memerlukan kemahiran tinggi untuk mengatasi rintangan tersebut.
“Orang profesional kata walaupun padang ini pendek, tapi bila mereka main di sini mereka kata padang golf ini sungguh challenging (mencabar).

“Pemain perlu bersedia menghadapi rintangan yang unik dan menuntut kemahiran yang tinggi kerana bentuk muka bumi yang berbukit-bukau menjadikan padang ini sukar walaupun kelihatan pendek,” katanya.
Sementara itu, Padang Golf Cameron Highlands yang terkenal ini dibina pada awal tahun 1930-an dan siap pada tahun 1934, menggunakan tenaga buruh. Ini menjadikan pembinaannya lebih kemas, teliti, dan kukuh.
Pada awalnya, kawasan ini adalah landasan kapal terbang, namun diubah atas permintaan orang Eropah yang ingin bermain golf di sini.

Kelab Golf Sultan Ahmad Shah menawarkan pengalaman bermain di padang golf tertinggi di Cameron Highlands, iaitu sekitar 1524 meter dengan pilihan 9 atau 18 lubang.
Sejak diswastakan kepada Kelab Golf Sultan Ahmad Shah pada tahun 2010, padang golf ini telah melalui pelbagai penambahbaikan.
Dana yang diperoleh daripada kerajaan negeri, Tourism Pahang dan bantuan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah telah digunakan untuk membina bangunan baru yang lebih lengkap dan meningkatkan kualiti padang golf.
“Jadi kita pun mohon kepada kerajaan dana dengan bantuan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada masa itu dan Tuanku dapatkan dana untuk kami bina bangunan ini,” jelasnya.
Kini, padang golf ini mempunyai 18 lubang yang memenuhi standard antarabangsa.
Setiap tahun, Cameron Highlands menerima hampir 2 juta pelancong, walaupun tidak semua bermain golf, kehadiran mereka memberi impak positif kepada ekonomi tempatan kerana lebih kurang 100,000 orang yang datang bermain golf di sini setiap tahun.
Kelab Golf Sultan Ahmad Shah juga menganjurkan pelbagai kejohanan seperti Cameron Highlands Open dan acara-acara lain yang disokong oleh pihak swasta.
Kejohanan ini menarik pemain tempatan dan antarabangsa yang ingin menguji kemahiran mereka di padang yang mencabar ini.
Dengan segala kemudahan yang ada, termasuk bilik persalinan, tempat mandi, dan restoran, serta pendekatan yang mesra pelanggan, Kelab Golf Sultan Ahmad Shah menawarkan pengalaman bermain golf yang unik.
“Kemudahan yang kita sediakan walaupun dia basic (asas), contohnya kita ada changing room (tempat persalinan), tempat mandi, kita ada semualah lengkap,” katanya.
Menambah keunikan disini, ketiadaan kenderaan golf (golf buggy) di padang ini menyebabkan para pemain perlu berjalan sekaligus menikmati udara nyaman dan pemandangan indah sebelum membuat pukulan seterusnya.
Cabaran bermain golf di Cameron Highlands, ditambah dengan keindahan alam semulajadinya, menjadikan Kelab Golf Sultan Ahmad Shah destinasi yang tidak boleh dilepaskan bagi peminat golf dari dalam dan luar negara. -PAHANGMEDIA

