Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 05 JUN 2024 : Pihak berkuasa telah menahan 45 individu yang terlibat dalam pencerobohan tanah bagi penanaman Musang King di Raub sepanjang Ops Sekat dijalankan.
Menurut Ketua Polis Pahang, YH CP Dato’ Seri Yahaya Othman kesemua yang ditahan berusia antara 19 tahun sehingga 67 tahun melibatkan warganegara dan juga warga asing.
“Pada 30 April kita telah membuat Ops Sekat dengan bantuan daripada pihak penguasa negeri dan Jabatan Perhutanan untuk menguatkuasakan larangan menceroboh tanah milik negeri di kawasan Hutan Simpan.
“Dan kita telah membuka 50 kertas siasatan melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaa, Kanun Tanah Negara Akta 828, Akta Perhutanan Negara 1984, dan Akta Imigresen 1959/1963.
“Selain itu, kita juga telah merampas sebanyak 44 buah motorsikal, 12 buah hilux, empat buah motorlori, empat buah traktor, dua buah jentera backhoe, dan empat buah excavator,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan isu tanah Musang King di Raub di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong hari ini.
Menurut beliau, penguatkuasaan telah dilaksanakan di lapan lokasi serta pihak penguatkuasa juga telah membina lapan parit gajah bagi menghalang pencerobohan berlaku.
“Sebanyak lapan lokasi operasi ini telah dijalankan iaitu Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Benum, Sungai Calit, Sungai Ruan; HSK Batu Talam, Sungai Sempam, Tranum.
“HSK Kampung Temalian, Ulu Dong; HSK Kampung Perdak, Ulu Dong; HSK Rotan Tunggal, Raub; Tanah Kerajaan Negeri Sungai Kenong, Tras, Tranum; Tanah Kerajaan Negeri Kampung Sang Lee, Tras, Tranum.
“Sebanyak lapan lokasi pembinaan parit gajah dengan lebar dan tinggi 2.5 meter sehingga 4 meter telah dibuat iaitu di HSK Gunung Benom; HSK Batu Talam; HSK Sungai Sempam; HSK Rotan Tunggal, Raub; HSK Taching, Raub; HSK Ulu Dong, Raub; dan HSK Tersang, Raub melibatkan dua lokasi,” katanya.
Menurut beliau, operasi ini masih dijalankan dengan memberikan tumpuan penuh terhadap pencerobohan daripada pekebun durian haram.
Beliau turut menasihatkan penduduk setempat supaya menghormati keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah serta mematuhi undang-undang yang telah digariskan. -PAHANGMEDIA