Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
KUANTAN, 04 JUN 2024 : “Alhamdulillah, pencapaian yang saya dapat hari ini adalah hasil usaha bersama. Menghafal Al-Quran memberi kelebihan saya dan rakan pelajar untuk rasa lebih mudah dalam menimba ilmu akademik.” Itu kata Akif Ibrahim, pelajar cemerlang SPM 2023 Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).
Akif yang merupakan pelajar terbaik MTNP berkongsi perasaan dan kejayaannya selepas mencapai kejayaan cemerlang mencatat keputusan 11A+ dalam peperiksaan SPM yang diumumkan baru-baru ini.
“Sebagai pelajar, kita tidak boleh berasa malu atau ego. Jika tidak faham, kita perlu terus bertanya. Dalam kelas atau bengkel besar dengan sekolah lain, kita perlu sentiasa berusaha untuk memahami dan mencari ilmu,” katanya ketika ditemui di Yayasan Pahang, hari ini.
Dalam mencapai kejayaan, selain kepentingan berkat dalam menuntut ilmu dan perlu menjaga hubungan baik dengan guru-guru, ibu bapa, dan ilmu itu sendiri, Akif turut mengakui kejayaannya memerlukan banyak pengorbanan daripada dirinya dan orang sekeliling.
“Saya banyak berkorban masa dan tenaga. Waktu rehat saya gunakan untuk bertanya soalan kepada guru, waktu petang saya hadiri kelas tambahan, dan waktu malam saya belajar sehingga lewat malam,” katanya.
Sementara itu, Akif yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik berkata dia berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di luar negara.
“Kalau boleh saya nak ke Madinah, belajar perubatan di universiti di sana, tapi saya juga sedang mempertimbang usaha untuk menyambung bidang sama (perubatan) di India atau Mesir,” katanya.
Akif turut mengakui kejayaan diperoleh adalah kejayaan bersama untuk MTNP dan kedua ibu bapanya.
“Paling penting adalah adab kita dengan ilmu, bukan sahaja dengan guru-guru dan ibu bapa, tapi juga dengan kawan-kawan. Cari keberkatan dalam belajar kerana melalui keberkatan itu akan membantu kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.
Dalam pada itu, Akif sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi, Ketua Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Ybhg. Tuan Haji Mohd Lafzul Muda Al-Hafiz, guru-guru, rakan-rakan serta semua yang terlibat dalam kejayaaannya. – PAHANGMEDIA