Oleh : Ain Nadhirah Basha & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
KUANTAN, 06 JUN 2024 : Kerajaan Negeri Pahang bercadang membina pusat penginapan pekerja secara berpusat di negeri ini bagi memastikan kebajikan pekerja terjaga.
Menurut Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, YB. Sim Choon Siang, cadangan ini selaras dengan Akta Standard Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
“Demi keselamatan buruh yang berada di Negeri Pahang, kita perlu menjalankan akta ini dan kita kena jaga keselamatan dan jaga kesihatan pekerja di seluruh negeri Pahang.
“Di Kuantan ini kita belum ada CLQ (Kuarters Buruh Berpusat) seperti yang ada di Penang, Johor, Selangor, sebab mungkin kontraktor perlu melaburkan jumlah wang yang besar untuk tempat tinggal.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin melabur bagi membina kuarters berpusat ini bagi memastikan keselesaan dan kebajikan pekerja lebih terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pendidikan Perburuhan Peringkat Daerah Kuantan dan Penyerahan Sijil Perakuan Penginapan di CCCECRL Management Office, KotaSAS.
Menurut beliau, melalui pembinaan pusat penginapan berpusat ini majikan juga dapat menjimatkan kos penyelenggaraan, serta memastikan Akta 466 dipatuhi.
“Akta 446 ini memperuntukkan semua penginapan atau penginapan berpusat yang disediakan perlulah mendapat perakuan penginapan daripada Ketua Pengarah Tenaga Kerja melalui permohonan perakuan penginapan di Pejabat Tenaga Kerja yang berada di dalam kawasan alamat penginapan,” katanya.
Menurut beliau setakat sebanyak 11 kompaun telah dikeluarkan dibawah Akta 466 melalui tujuh operasi yang dijalankan di seluruh negeri ini.
“Kegagalan mana-mana majikan yang gagal memperolehi Perakuan Penginapan tersebut apabila disabitkan dengan kesalahan boleh didenda sehingga RM 50,000.
“Manakala kegagalan bagi mana-mana penyedia penginapan berpusat apabila disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. -PAHANGMEDIA