Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 MEI 2024 : Penganjuran Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445H / 2024M menunjukkan usaha umat Islam dalam memartabatkan Al-Quran dan mengangkat syiar Islam sebagai agama persekutuan.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Kerajaan Pahang juga turut melaksanakan pelbagai usaha bagi menzahirkan kecintaan terhadap agama Islam terutama di dalam bidang pendidikan.
“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Pahang juga tidak ketinggalan terutamanya dalam bidang pendidikan.
“Dalam mendukung usaha memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan melalui Al-Quran, betapa subur dan mekarnya penubuhan Institusi Pendidikan Islam berteraskan Al-Quran di bumi Pahang yang tercinta ini,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445H / 2024M yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Hajah Hakimah Mohd Yusoff, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.
Pada MTHQK kali ini, Qari dari Negeri Sembilan, Encik Mohamad Husaini Mahmur telah dinobatkan sebagai johan manakala Cik Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu diumum sebagai johan menunggu bagi kategori qariah.
Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan ibadah haji, piala, cenderamata serta sijil.
Baginda bertitah, pendidikan Islam bermula seawal usia 4 tahun dengan adanya Tadika Tahfiz, Sekolah Rendah Tahfiz Islam, Maahad Tahfiz, Tahfiz Profesional, Tahfiz Surah selain tumpuan diberikan bagi memperkasakan Orang Asal menerusi Maahad Tahfiz Orang Asal.
Kerajaan Pahang juga komited memberikan bantuan seperti Skim Ujian Hafazan Pahang, Skim Dermasiswa, Maahad Tahfiz dan Bantuan Prihatin Pahang melibatkan Tahfiz, Madrasah dan Pondok Masjid.
“Langkah ini menunjukkan betapa Kerajaan Negeri Pahang benar-benar serius dalam menjaga dan memelihara generasi Al-Quran ini.
“Di sini, saya ingin juga mengambil kesempatan untuk memuji inisiatif kerajaan saya yang bermurah hati menyumbang wang tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap peserta tilawah kali ini. Tahniah!,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menyeru agar kepada umat Islam agar menjadikan Al-Quran sebagai bahan bacaan utama setiap isi rumah umat Islam agar dapat menjadikan negara sentiasa berada di bawah rahmat dan keredhaan Allah swt. – PAHANGMEDIA