Oleh : Luqman Khairil
28 Mei 2024
Semalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 telah pun diumumkan yang menyaksikan sejarah telah tercipta di bumi Pahang apabila Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) mencatat keputusan yang luar biasa, mengungguli carta sekolah terbaik di negara ini dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.07.
Malah, kesemua 56 calonnya lulus 100 peratus dengan 23 daripadanya mendapat gred A dalam semua matapelajaran.
Pencapaian memberangsangkan ini sekali gus meletakkan MTNP sebaris dengan sekolah-sekolah elit yang sebelum ini menguasai pencapaian cemerlang dalam SPM.
Sudah pastinya ia satu keputusan yang cukup membanggakan bagi anak jadi Pahang di mana MTNP merupakan sebuah institutsi pendidikan yang diurusakan oleh Kerajaan Negeri Pahang menerusi Yayasan Pahang.
Inilah iltizam dan kesungguhan kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah teraju YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail selaku Pengerusi MTNP bersama Ahli Lembaga Pengarahnya yang mahu MTNP bukan sahaja dilihat melahirkan para huffaz al-Quran semata-mata, tetapi turut cemerlang dalam pengajian kurikulum kebangsaan juga.
Menyingkap sejarah penubuhan MTNP yang diilhamkan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, yang pada waktu itu sebagai Kebawah Duli Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, telah menitahkan supaya diwujudkan sebuah institusi seperti Akademi Al-Quran bertujuan melahirkan para huffaz dan juga qari/qariah yang berwibawa.
Bagi menjunjung titah Baginda Tuanku, Kerajaan Negeri kemudiannya telah membina MTNP dan siap sepenuhnya pada tahun 2006 di Tanjung Lumpur, Kuantan, telah berjaya melahirkan kira-kira 1,053 para huffaz dan huffaz professional sehingga ke hari ini.
Malah pada tahun lalu, MTNP juga turut mencipta rekod berjaya mengekalkan ranking pertama di negeri Pahang untuk 9 tahun berturut-turut bagi SPM dan 14 tahun berturut-turut sebagai Mahaad Tahfiz Terbaik di Malaysia bagi program Diploma Tahfiz.
Insya-Allah, dua tahun lagi sebuah lagi Maahad Tahfiz Negeri Pahang akan dibuka di daerah Lipis, di mana majlis pecah tanah pembinaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang baharu ini telah dilancarkan pada 8 Februari 2024 yang lalu.
Pembinaan MTNP di daerah Lipis ini juga dilihat turut memberi peluang lebih ramai anak-anak Pahang untuk turut sama menjadi sebahagian keluarga MTNP serta melahirkan anak-anak tahfiz yang berjaya dalam apa jua bidang.
Tidak terhenti dengan penubuhan MTNP semata-mata, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail juga mahu institusi tahfiz ini diperluaskan merangkumi pendidikan awal kanak-kanak sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi.
Bemula dengan penubuhan sebuah Tadika Tahfiz Negeri Pahang pada tahun 2018, kini tadika ini telah berkembang sehingga 25 buah. Malah, lebih membanggakan lagi modul pendidikan Tadika Tahfiz ini diguna pakai di 4,000 buah Tadika KEMAS seluruh negara.
Kerajaan Negeri kemudiannya telah menubuhkan Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang pada tahun 2021, Maahad Tahfiz Turath pada tahun 2020 serta mewujudkan Program Tahfiz Mahir.
Inilah keazaman kepimpinan YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail dalam memartabatkan institusi tahfiz di Pahang, selaras dengan hasrat beliau yang mahu memperkasakan perkembangan Islam di bumi Pahang.
Tahniah kepada YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Ahli Lambaga Pengarah MTNP, pengurusan MTNP, Yayasan Pahang, tenaga pengajar serta anak-anak tahfiz yang telah membawa impian dan keazaman MTNP untuk muncul institusi pendidikan terbaik di negara ini menjadi realiti.
Semoga MTNP terus unggul menjadi sebuah institusi pendidkan yang kredibel dan berdaya saing serta terutamanya dalam melahirkan anak-anak hufaz yang cemerlang dan berkualiti selaras dengan slogan ‘PAHANG 1ST’.