Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 MEI 2024 : Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) berjaya mengangkat martabat institusi tahfiz dan generasi huffaz apabila memperoleh kejayaan cemerlang menerusi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 yang diumumkan baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh warga pengurusan, pendidik dan para pelajar MTNP.
“Dalam kesempatan ini, setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh warga pengurusan, pendidik dan para pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) atas kejayaan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 yang telah diumumkan.
“Keputusan cemerlang ini telah mengangkat martabat institusi tahfiz dan generasi huffaz. Menjunjung kasih kesisi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sekalu Penaung Diraja Maahad Tahfiz Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Penutup Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445H / 2024M yang telah berlangsung selama enam hari bermula 23 Mei lalu di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Majlis Perasmian Penutup MTHQK telah disempurnakan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Hajah Hakimah Mohd Yusoff, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ini telah disertai seramai 29 peserta tilawah Al-Quran dan 81 peserta Hafazan Al-Quran dari seluruh Malaysia.
Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) mendahului senarai Sekolah Terbaik SPM 2023 seluruh Malaysia yang diumumkan semalam dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.07.
Pada kesempatan itu, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Pahang yang dipimpin YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di atas kerjasama erat dan komitmen sehingga menjadikan MTHQK kali ini berkualiti dan terbaik di sepanjang edisi penganjuran.
“Begitu juga setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada seluruh masyarakat di Negeri Pahang yang telah memberikan sokongan padu kepada Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ini. Buktinya dewan kita ini sentiasa penuh setiap kali ketika acara dilangsungkan,” katanya. – PAHANGMEDIA