Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Kerajaan Pahang memperkukuh syiar Islam di negeri ini dengan memberi peruntukan yang besar dalam melaksanakan pelbagai program ke arah usaha tersebut di negeri ini sekali gus mengetepikan tuduhan bahawa Pahang merupakan negeri sekular.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenyataan bahawa Pahang negeri sekular dapat mencetuskan persepsi buruk dan boleh memecahbelahkan keharmonian rakyat di negeri ini.
“Saya merasa terpanggil untuk menjelaskan mengenai pengukuhan syiar Islam di bumi Pahang yang kini berkembang dengan begitu baik dan subur, lebih-lebih lagi ada dakwaan yang mengatakan agama Islam di Pahang terancam dan Pahang merupakan negeri sekular.
“Kenyataan sebegini merupakan satu kenyataan yang cuba mencetuskan persepsi buruk serta boleh memecahbelahkan keharmonian rakyat di negeri ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, pagi tadi.
Menurutnya, pelbagai bantuan dan sumbangan diberikan kepada masjid, surau, mualaf, pengantin baharu menerusi BPP.
“Kerajaan Negeri juga telah membentangkan 14 Rang Undang-Undang atau Enakmen berkaitan agama Islam yang telah diluluskan seperti RUU menghalang umat Islam keluar daripada agama Islam (murtad), RUU berkaitan wakaf, RUU berkaitan wasiat serta RUU berkaitan Tarekat bagi menghalang penyebaran ajaran sesat,” katanya.
Selain itu, Kerajaan Pahang menerusi agensinya, Yayasan Pahang sedang giat membangunkan Pendidikan Tahfiz khusus untuk anak-anak Pahang, bermula dari peringkat awal persekolahan sehinggalah ke peringkat Diploma.
Antara program tahfiz yang diwujudkan di Pahang ialah Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP), Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang dan Program Tahfiz Mahir.
Selain itu, penubuhan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) juga merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkasakan pendidikan Islam di negeri ini.
Beliau berkata, Kerajaan Pahang juga turut memberikan pelbagai bentuk bantuan iaitu Barakah Haji Pahang dengan pemberian RM750 dan pek makanan Juadah Makmur, penganjuran International Conference on Contemporary Education in The Islamic World, selain terpilih sebagai tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan.
“Apa yang saya cuba sampaikan di sini, Islam di Pahang tidak pernah goyang atau terancam, sebaliknya Islam di Pahang terus diperkukuhkan menerusi pelbagai inisiatif termasuk menyalurkan peruntukan yang besar sebanyak RM162.5 juta menerusi belanjawan tahun ini.
“Oleh itu, saya menyeru janganlah ada suara-suara sumbang yang cuba mengganggu-gugat dengan menyebarkan persepsi kebencian lebih-lebih lagi berkaitan agama Islam yang secara jelasnya merupakan agama rasmi Persekutuan dan Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

