Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 MEI 2024 : Kerajaan Pahang menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya mengutip denda berjumlah RM250,000 hasil daripada 34 kes yang melibatkan pelbagai kesalahan yang menyebabkan kehilangan hasil Kerajaan Negeri bermula Januari lalu sehingga bulan ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesalahan yang dilakukan termasuklah pencerobohan tanah kerajaan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828), melombong tanpa pajakan Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 dan pemindahan bahan batuan tanpa kelulusan Seksyen 426 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
“Dalam pada itu, UPNP juga telah menyelesaikan tindakan pemusnahan struktur binaan tanaman di atas tanah Kerajaan yang diceroboh seluas 302 ekar seluruh Pahang melibatkan tanah milik PSK dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri.
“Selain itu, saya menyeru agar kita semua menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, supaya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang mengetepikan semakan kehakiman pekebun durian Musang King di Daerah Raub, baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata, menerusi hasil tangkapan itu juga, UPNP berjaya menyita 66 jentera dan 270 ekshibit (barang kes) selain denda sebanyak RM250,000 berjaya dikutip hasil daripada pendakwaan.
Terbaru, pada 8 Mei lalu seorang lelaki didakwa dan didapati bersalah kerana menceroboh tanah Kerajaan di dalam Daerah Raub dan telah dijatuhkan hukuman dendan RM200,000 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal membuat bayaran. – PAHANGMEDIA

