Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Pahang menduduki tempat ketiga penanaman pokok terbanyak melalui Program Penghijauan Malaysia : Kempen Penanaman 100 Juta Pokok tahun ini dengan lebih 9 juta pokok dicatat ditanam setakat bulan ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata jumlah ini merupakan sebahagian daripada lebih 86 juta pokok ditanam di seluruh Malaysia.
“Melalui Program Penghijauan Malaysia : Kempen Penanaman 100 Juta Pokok sehingga Mei 2024, Negeri Pahang telah mencatatkan penanaman pokok sebanyak 9,056,866 pokok.
“Jumlah keseluruhan pokok yang ditanam di seluruh Malaysia sehingga kini adalah sebanyak 86,330,186 pokok. Pahang menduduki tempat ketiga penanaman pokok terbanyak selepas Sarawak (33,774,426) dan Sabah (16,324,475),” katanya.
Menurut beliau program ini dijalankan secara berterusan sejak tahun 2021 dan diketuai oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dengan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Jabatan dan Agensi Kerajaan, syarikat swasta, universiti awam dan swasta, badan bukan kerajaan serta pelbagai badan-badan sukarelawan.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. – PAHANGMEDIA

