Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan pendapatan RM1.26 juta setahun dengan pengeluaran 126 metrik tan bagi 12 kolam penternakan ikan tilapia menggunakan sistem biflok.
Menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, projek rintis milik Yayasan Pahang ini dimulakan tahun lepas melibatkan 12 kolam.
“Pada tahun 2024 disasarkan tambahan 12 kolam lagi. Permintaan ikan tilapia merah di Malaysia sangat tinggi sehingga melebihi penawaran sedia ada. Kita sasarkan pendapatan RM1.26 juta setahun dengan pengeluaran 126 metrik tan untuk 12 kolam,” katanya.
Menurut beliau bioflok merupakan teknik yang dapat mengurangkan kos penggantian air serta dapat meningkatkan pengeluaran ikan tempatan.
“Bioflok adalah teknik yang menggunakan bantuan bakteria bermanfaat untuk menguraikan sisa-sisa makanan dan buangan ikan menjadi flok-flok atau gumpalan yang boleh dimakan semula oleh ikan.
“Bioflok secara praktisnya dapat mengurangkan penggantian air yang memberi penjimatan kos air. Projek ternakan ini dipilih kerana dapat meningkatkan pengeluaran ikan tempatan,” katanya.
Selain itu, projek penternakan ikan tilapia menggunakan sistem tersebut juga dapat membantu meningkatkan ekonomi tempatan melalui pelabgai faktor.
“Projek ini juga dapat memberi dorongan kepada ekonomi tempatan melalui penciptaan
peluang pekerjaan tempatan, peningkatan pengeluaran penternakan, dan sokongan kepada rangkaian perniagaan tempatan.
“Seterusnya projek ini memberi latihan kepada empat orang belia serta membantu menjana pendapatan keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA

