Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Sebanyak lapan inisiatif Pelan Digital Pahang 2021-2025 telah berjaya dilaksanakan bagi mewujudkan ekosistem digital yang kondusif dan saling berintegrasi di antara kerajaan, rakyat, dan juga industri di negeri ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata daripada 50 inisiatif yang dirangka, 39 inisiatif dalam fasa pelaksanaan dan bakinya dalam proses perancangan.
“Mengenai Pelan Digital Pahang 2021-2025 daripada 50 inisiatif yang telah dirangka, sebanyak lapan inisiatif telah berjaya dilaksanakan, manakala 39 inisiatif lagi dalam fasa pelaksanaan, dan selebihnya dalam proses.
“Perancangan Pelan Digital Pahang ini penting bagi mewujudkan ekosistem digital yang kondusif dan saling berintegrasi di antara Kerajaan, rakyat, dan juga industri,” katanya ketika sidang penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau lagi, antara inisiatif berjaya dilaksanakan adalah aplikasi Pahang Go yang telah berjaya mengutip RM2.5 juta secara puratanya.
“Di antara inisiatif yang telah berjaya dilaksanakan adalah seperti kutipan hasil Kerajaan Negeri menerusi aplikasi mobile Pahang Go, dan melalui inisiatif ini secara puratanya RM2.5 juta nilai transaksi bulanan meliputi kutipan parking pembayaran kompaun pembayaran cukai pintu, cukai tanah, dan pelbagai lagi berjaya diuruskan oleh Pahang Go.
“Selain itu, Pahang Go ketika ini sedang giat menaiktaraf sistem eRakyat dan Pembangunan Sistem Maklumat Geografi (GIS) bersama agensi-agensi Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Tambah beliau, sehingga 30 April tahun ini, sebanyak 337 struktur stesen pemancar 5G telah siap dan beroperasi, manakala baki 24 struktur disasarkan untuk siap menjelang penghujung suku kedua tahun ini.
“Berhubung pembangunan infrastruktur!komunikasi untuk liputan 5G, pelaksanaan untuk negeri Pahang telah bermula pada suku empat tahun 2022 di mana pihak Digital Nasional Berhad (DNB) telah memperuntukkan sebanyak 361 struktur 5G kepada negeri Pahang.
“Berdasarkan rekod, sehingga 30 April 2024, sebanyak 337 struktur stesen pemancar 5G telah siap dan beroperasi, manakala baki 24 struktur disasarkan untuk siap menjelang penghujung suku kedua tahun ini sekali gus menepati sasaran liputan 5G di kawasan
berpenduduk, seperti yang telah ditentukan oleh Digital Nasional Berhad.
“Bagi pelaksanaan fasa berikutnya, ia dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini dengan mensasarkan lebih banyak lagi kawasan liputan 5G di lokasi baru dengan tumpuan akan diberikan di kawasan Pahang Barat yang meliputi daerah Raub, Lipis, Bentong dan Cameron Highlands bagi mencapai sasaran liputan 5G di kawasan berpenduduk di peringkat nasional iaitu 80 peratus,” katanya. -PAHANGMEDIA