Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang bersetuju untuk melanjutkan kemudahan pembiayaan Skim I-PUSH untuk semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum bagi memberi pembiayaan kepada usahawan mikro untuk meningkatkan kapasiti dan mengembangkan perniagaan mereka.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail juga telah bersetuju supaya inisiatif ini diteruskan di masa akan datang, tertakluk kepada peruntukan.
“Oleh itu, usahawan yang berkelayakan masih boleh memohon untuk mendapatkan pembiayaan di fasa-fasa pelaksanaan yang akan datang,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang menambah peruntukan RM5 juta kepada Skim I-PUSH sepertimana yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail di dalam Belanjawan Tahun 2024.
“Statistik menunjukkan majoriti sebanyak 94.07% bersamaan 5,362 orang yang menerima pembiayaan ini adalah terdiri daripada bangsa Melayu. Inisiatif ini juga boleh dinikmati oleh semua yang berkelayakan serta menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa sehingga kini sebanyak 3,340 unit rumah PGBF di 29 tapak di mana 1,154 unit telah siap sepenuhnya manakala baki 346 unit diurus FELDA dan 1,840 unit diurus oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) masih dalam pembinaan.
“Kerajaan Negeri dan pengurusan FELDA sentiasa memantau secara berkala supaya perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual serta garis panduan yang diselaraskan bersama.
“Kerajaan Negeri dengan kerjasama FELDA juga turut mengambil inisiatif tambahan untuk melaksanakan Skim Tanah Rakyat FELDA (STRF) di 18 Rancangan FELDA terpilih untuk fasa awal ini yang melibatkan 2,120 unit.
“Kerajaan Negeri dan FELDA akan meneruskan usaha ini untuk fasa seterusnya ke rancangan-rancangan FELDA yang lain. Insyaa Allah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu Kerajaan Negeri Pahang iaitu FELDA ini juga akan menganjurkan beberapa karnival-karnival untuk membantu usahawan-usahawan FELDA ini berdaya saing untuk menguruskan perniagaan mereka secara mikro (kecil-kecilan) sehingga besar-besaran
“Antaranya, Karnival Segalanya FELDA yang akan diadakan pada 1 dan 2 Jun di perkarangan Stadium Jengka dan akan dirasmikan YAB. Dato Seri Menteri Besar Pahang selaku kepimpinan Ulil Amri (pemimpin) Negeri Pahang untuk memberikan sokongan moral kepada semua usahawan-usahawan FELDA,” katanya.
Selain itu, YB. Dato’ Amizar juga turut memaklumkan mengenai Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 12 hingga 14 Jun di MAEPS Serdang dan akan mengumpulkan 500,000 orang.
“Kita akan mengumpulkan 317 gerai setiap peneroka dan setiap rancangan FELDA di Malaysia ini. Kita akan kumpulkan mereka untuk mereka pamerkan produk dan makanan-makanan mereka supaya kita dapat hasilkan Malaysian Book of Records.
“Kita akan gabungkan anak-anak peneroka dan belia-belia ini dalam satu bumbung juga untuk mereka berkempen selama 3 hari 2 malam. Ini merupakan teknik-teknik dan perkara baru yang dilaksanakan FELDA untuk bersama dengan kita semua,”katanya.
Dalam kesempatan itu, beliau berharap agar inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri ini dapat dimanfaatkan oleh usahawan di segenap pelosok Negeri Pahang dan seterusnya diterjemahkan dengan peningkatan pendapatan isi rumah per kapita kearah kemakmuran bersama. -PAHANGMEDIA

