Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 10 MEI 2024 : “Pemuda cara pemuda, wanita cara wanita,” itu ulas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan kenyataan oleh Pemuda PAS Pahang terhadap YAB Menteri Besar Pahang.
Menurut YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim, provokasi politik ni adalah perkara biasa, bukan benda baharu.
“Iyalah, pemuda cara pemuda, wanita cara wanita,” katanya ketika mencelah ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sebelum ini Pemuda PAS Pahang dengan cara yang tidak sopan menuntut dan menggesa Menteri Besar Pahang untuk menyiarkan perbahasan secara siaran langsung Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15.
Sementara itu, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal menegaskan, tindakan mencerca pemimpin dan politik kebencian perlu dihentikan serta merta dan tindakan mencerca pemimpin bukan budaya anak muda dan bukan juga perkara yang perlu dijadikan kebiasaan dalam budaya berpolitik di negeri ini.
“Saya perlu sebut perkara ini sebab tindakan mencerca pemimpin nombor satu atau pemimpin utama Pahang ni bukan kali pertama, bukan juga kali kedua, dah banyak kali (dilakukan) oleh pemuda PAS Pahang.
“Kalau YB Cheka kata biasalah pemuda (bersifat demikian), tak biasa YB Cheka, sebab saya bersama dengan YB Tahan masa kita sama-sama pemuda, dan dah terlepas daripada talian Muafakat Nasional pun kita masih bersahabat secara baik, tak mengeluarkan kenyataan-kenyataan sebegini.
“Saya minta kenyataan sebegini agar dihentikan serta-merta sebab ini bukan budaya politik di Pahang, budaya politik kebencian terhadap pemimpin ini perlu dihentikan serta-merta,” katanya. – PAHANGMEDIA

