Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 8 MEI 2024 : Program Pahang 1st Job bakal memberi peluang pekerjaan kepada 100 orang graduan anak Pahang yang terdiri daripada IPTA dan IPTS yang terpilih di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang berkata, menerusi program berkenaan, graduan yang terlibat akan dibayar sebanyak RM2,500 selama tempoh enam bulan.
Menurutnya, program yang akan dilaksanakan melalui Majlis Pekerja Negeri Pahang dan dibawah seliaan Perbadanan Setiausaha Negeri Pahang ini dijalankan secara kolaborasi dengan syarikat-syarikat yang berminat terutamanya di taman-taman industri negeri Pahang.
“Program ini terbuka kepada semua majikan yang berminat dan berdaftar melalui Portal MYFutureJobs yang merupakan Portal Pencarian Pekerjaan Nasional. Setakat Mac 2024 terdapat 4,570 majikan di negeri Pahang yang mendaftar di portal berkenaan dan jumlah ini dijangka akan meningkat dengan adanya penawaran insentif penggajian khas Pahang 1st Job termasuk daripada kalangan syarikat para pelabur yang masih belum menggunakan platform MYFutureJobs.
“Setakat Mac lalu, terdapat sebanyak 112,262 pencari kerja di negeri Pahang yang berdaftar di MYFutureJobs dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 31,129 pencari kerja yang sedang aktif mencari pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Beserah, YB Andasura Rabu pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menjawab soalan tambahan daripada YB Andasura berkenaan status semasa, YB. Encik Sim berkata segala proses berkaitan permohonan ketika ini adalah di peringkat perbincangan dan gerak kerja akan dilaksanakan segera dengan keterlibatan semua pemegang taruh termasuk PERKESO sebagai badan penting yang akan memainkan peranan utama bagi aktiviti penawaran dan pemadanan pekerjaan terlibat.
“Sistem Pangkalan Data Pekerjaan Pahang atau CariKerja@Pahang kini dalam proses dibangunkan dan akan diintegrasikan dengan laman sesawang Invest Pahang secara berperingkat.
“Bidang pekerjaan yang akan ditawarkan di dalam sistem akan merangkumi semua mengikut sektor industri seperti pembinaan, pembuatan, perkhidmatan serta pertanian dan penternakan,” katanya. -PAHANGMEDIA

