Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 8 MEI 2024 : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang secara berterusan melaksanakan operasi membanteras pengemis berkeliaran di sekitar bandar di negeri ini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata operasi berjadual atau berkala bagi tempat-tempat yang ditentukan, manakala operasi tidak berjadual atau tidak berkala dilakukan berdasarkan aduan yang diterima.
“Selain itu, JKM Pahang juga telah giat melaksanakan Program Jerayawara Bijak Membantu, Elak Tertipu di peringkat negeri dan daerah. Program ini bertujuan membanteras aktiviti mengemis selain menyedarkan masyarakat supaya lebih bijak agar tidak tertipu oleh individu atau kumpulan yang mengambil jalan mudah meraih keuntungan di atas sikap pemurah segelintir masyarakat pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Batu Talam, YB Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata operasi mengambil orang papa JKM tidaklah terpakai bagi kes orang papa disyaki berpenyakit mental, kes orang papa disyaki mempunyai masalah kesihatan kronik atau penyakit berjangkit, kes orang papa bukan warganegara, kes orang papa pemegang kad United Nations High Commision For Refugees (UNCHR), kes orang papa disyaki penagih dadah, dan kes kutipan derma tapa kelulusan.
Ia menjawab soalan tambahan daripada YB Dato’ Abd Aziz yang bertanya mengenai kategori kumpulan-kumpulan pengemis yang mana berada di bawah penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa tafsiran orang papa sebagaimana seksyen 2 Akta Orang Papa 1977, Akta 183 adalah merujuk kepada seseorang yang didapati mengemis di sesuatu tempat awam dengan sebegitu cara hingga menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegusaran kepada orang-orang yang lazim mengunjungi tempat itu ataupun hingga menimbulkan kacau ganggu.
“Manakala, tafsiran kedua ialah seorang pelesir yang dijumpai di sesuatu tempat awam, sama ada atau tidak ia mengemis yang tidak mempunyai mata pencarian pada zahirnya atau tempat tinggal atau yang tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan memuaskan,” katanya. -PAHANGMEDIA

