Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 MEI 2024 : Kerajaan Negeri menetapkan sasaran peningkatan jumlah pelaburan sebanyak lima peratus setiap tahun bagi pelaburan zon perindustrian bagi memacu ekonomi Negeri Pahang.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata ia telah digariskan dalam plan strategik Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang tahun 2023-2027 dan melibatkan zon perindustrian Gebeng, Pekan, estet Bentong, dan MCKIP.
Beliau berkata YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail turut menekankan berapa cadangan untuk penambahbaikan pelaksanaan Taman Perindustrian Berkembar MCKIP (Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China) dan CMQIP (Taman Perindustrian Qinzhau China-Malaysia).
“Pertamanya meningkatkan peranan MCKIP dan CMQIP sebagai pusat inovasi untuk sektor strategik dengan memanfaatkan industri sedia ada seperti besi dan keluli, dan komponen kenderaan elektrik (EV), serta bagi mewujudkan program latihan TVET serta R&D melalui kerjasama dengan universiti tempatan atau institut latihan di Pahang seperti Kolej Yayasan Pahang dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) untuk memanfaatkan program sedia ada di bawah akademi dalam industri.
“Kedua mempromosikan Taman Logistik Antarabangsa Kuantan Malaysia China (MCKIP) sebagai hub bagi industri perkhidmatan 2.0 yang memberi tumpuan kepada industri logistik bersepadu dengan memanfaatkan Pelabuhan Kuantan, ECRL, dan juga lapangan terbang Kuantan.
“Ketiga, mengukuhkan sinergi antara MCKIP dan CMQIP dengan memberi tumpuan kepada kedudukan kompetatif Malaysia sebagai peneraju minyak sawit serta peranan Pelabuhan Kuantan untuk memudahkan lebih banyak perdagangan minyak sawit dibawa masuk ke China,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba ketika sesi pertanyaan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau Kerajaan Negeri turut komited dalam pembangunan aero-angkasa di negeri ini serta menyasarkan dapat menguasai sekurang-kurangnya satu peratus daripada pasaran Asia Pasifik berkaitan penyelenggaraan, pembaikan, dan baikpulih.
“Pembangunan industri aero-angkasa di Negeri Pahang sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Khas Daerah Kecil Gebeng 2035 yang dilancarkan pada 13 september 2022. Melalui cadangan pembangunan projek lapangan terbang antarabangsa dan bandar aero-angkasa yang akan dibangunkan di Seksyen 4 Kawasan Perindustrian Gebeng.
“Ia juga menjadi satu pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang di mana Kerajaan Negeri juga mensasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya satu peratus daripada pasaran maintenance, repair dan overhaul Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai RM15 trilion,” katanya. – PAHANGMEDIA

