Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 MEI 2024 : Persidangan International Conference on Contemporary Education In Islamic World (ICCEIW) yang julung kali diadakan merupakan kejayaan bagi Pahang dalam meningkatkan kualiti pendidikan Islam di peringkat antarabangsa.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata kerjasama dengan Persatuan Universiti Islam Sedunia (Rabitah) merupakan usaha Kerajaan Negeri Pahang dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan pendidikan Islam.
“Usaha terutamanya dalam menyokong pelbagai program atau persidangan seperti ini, menjadikan negeri ini sebagai platform utama untuk perkembangan intelektual dan ilmiah komuniti Muslim.
“Sebagai hasil daripada persidangan ini, kami sangat gembira dengan beberapa siri sesi perkongsian ilmu yang telah dijalankan dengan komuniti di Masjid Negeri oleh para cendekiawan yang menghadiri persidangan di negeri kami sepanjang tiga hari acara ini.
“Kami juga telah berjaya menandatangani 16 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan organisasi sukarelawan antarabangsa yang melibatkan pertukaran pelajar, pertukaran fakulti, kakitangan akademik, dan penyelidikan serta institusi tahfiz Islam terkemuka dan universiti-universiti Islam ternama di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Penutup International Conference on Contemporary Education in Islamic World (ICCEIW) di Hotel Grand Darul Makmur.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan bercemar duli merasmikan Majlis Penutupan International Conference on Contemporary Education in Islamic World (ICCEIW) di Hotel Grand Darul Makmur.
Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar, Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob; YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; barisan Exco Kerajaan Pahang; dan dif-dif kehormat.
Sementara itu, Rektor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), YH. Prof Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata persidangan ini melebihi daripada apa yang dijangkakan selain mengiktiraf UniPSAS sebagai universiti Islam.
“…terutama pengiktirafan Universiti Al-Azhar kepada pendidikan agama di Negeri Pahang, yang kedua pengiktirafan universiti-universiti daripada negara-negara Islam ini terhadap Negeri Pahang amnya dan kepada UnIPSAS khasnya.
“Jadi ini adalah satu petanda bahawa kita mampu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama dengan institusi pengajian tinggi sama ada dalam dan luar negara,” katanya.
Persidangan yang bermula selama tiga hari bermula Ahad lepas telah menghimpunkan pelbagai golongan profesional seperti menteri, mufti, rektor universiti, cendekiawan, dan intelektual dari pelbagai bidang daripada 28 negara Islam. -PAHANGMEDIA

