Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi
KUANTAN, 08 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah memulakan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) yang pertama di Malaysia di Lipis dalam memperkasakan prasarana juga ekosistem pendidikan.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata mulai 20 Mac tahun lepas, SMK RPS Betau mempunyai murid prasekolah sehingga ke tingkatan 5.
“Dalam usaha untuk mengangkat dan memperkasakan makna Pendidikan Madani dengan lima prakarsa, maka di daerah Lipis, pihak kerajaan telah memulakan operasi Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) di Sekolah Menengah Kebangsaan RPS Betau mulai 20 Mac 2023.
“Bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini, bangunan baharu yang merangkumi blok pentadbiran, makmal sains, serta bengkel mata pelajaran, telah siap digunakan pada tahun 2023.
“Selain itu, pengenalan mata pelajaran Pemprosesan Makanan sebagai mata pelajaran pilihan di tingkatan 4 dan 5 diharap dapat memberi tarikan kepada murid-murid untuk meneroka disiplin ilmu dan kemahiran yang berbeza dengan gaya hidup setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkaitan perancangan kerajaan untuk meningkatkan lagi prasarana dan ekosistem Kuala Lipis sebagai Hab Pendidikan seperti yang pernah dicadang pada tahun 2013 ketika sesi pertanyaan kepada Menteri Besar pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, semua aliran kemanusiaan bagi pendidikan tingkatan enam telah dipusatkan ke SMK Seri Lipis, Kuala Lipis bermula sesi persekolahan tahun ini bagi tujuan penjenamaan ekosistem pengajian.
“Mulai sesi persekolahan 2024 ini juga, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Lipis, Kuala Lipis telah diluluskan pengoperasian sebagai Kolej Tingkatan Enam yang pertama di daerah ini.
“Semua aliran kemanusiaan bagi pendidikan tingkatan enam (pra universiti) di sekolah-sekolah sekitar iaitu di Sekolah Menengah Clifford dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Lanar telah dipusatkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Lipis bagi tujuan penjenamaan ekosistem pengajian agar para pelajar lebih bermotivasi dengan gaya hidup di pusat pengajian tinggi.
“Para guru yang mengajar di kolej tingkatan enam ini juga berpeluang memantapkan budaya penyebaran ilmu secara lebih dinamik seperti sesi perkuliahan di pusat pengajian tinggi,” katanya.
Tambah beliau, pendidikan rendah dan pendidikan berteraskan agama juga tidak dipinggirkan dalam plan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Bagi pendidikan rendah, kerajaan telah meluluskan perluasan pembinaan bangunan Prasekolah Integrasi di Sekolah Kebangsaan Penjom, Lipis, Pahang yang mengandungi sebuah bilik darjah serta kemudahan-kemudahan lain mengikut piawai melalui peruntukkan pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12, rolling plan 4 tahun 2024.
“Dengan kewujudan bangunan ini, ekosistem pembelajaran bagi murid-murid berkeperluan khas di kawasan Penjom khususnya dan Daerah Lipis amnya dapat ditawarkan kepada anggota masyarakat. Inilah satu-satunya prasekolah intergrasi yang ada di Daerah Lipis.
“Selain dari itu, pengoperasian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lipis sejak 1 Januari 2017 telah semakin menjadi tumpuan kepada bukan sahaja penduduk daerah Lipis malah sebilangan besar warga Kuala Lumpur, Kuantan dan daerah sekitar turut menghantar anak-anak mereka untuk meneruskan pendidikan menengah di sekolah ini. Dimensi pendidikan berteraskan aliran agama yang semakin menjadi pilihan menyemarakkan lagi perkembangan ilmu di daerah Lipis,” katanya. -PAHANGMEDIA

