Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 07 MEI 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan supaya rakyat tidak menyokong sebarang bentuk keganasan selain perlu membantah keganasan yang berlaku.
Kebawah Duli Paduka Baginda bertitah, sebarang bentuk keganasan termasuk dilakukan orang Islam sendiri perlu ditolak begitu juga yang berlaku di Palestin.
“Kita tidak perlu menyokong mana-mana keganasan khususnya keganasan daripada orang Islam sendiri apatah lagi keganasan yang sedang berlaku di Palestin.
“Kita harus bersuara bagi menyuarakan pandangan dan pegangan kita bagi membantah keganasan. Dan ada kumpulan iaitu ISIS, Daesh, yang mana telah merosakkan imej Islam dan menakut-nakutkan bukan sahaja agama lain malah umat Islam juga.
“Cara mereka membawa agama adalah secara kekerasan dan bukan apa yang diamalkan oleh agama kita,” titah baginda pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Pendidikan Kontemporari Antarabangsa Dalam Dunia Islam (ICCEIW) di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini.

Sementara itu, baginda juga menyifatkan ICCEIW yang dianjurkan ini dapat membentuk dan mencorakkan Islam pada masa hadapan.
“Saya juga nak tegaskan antara unsur yang boleh memberi tekanan kepada orang Islam di seluruh dunia ialah faktor Islamofobia yang mana mempunyai satu persepsi yang cukup tidak benar dan menakut-nakutkan agama lain tentang Islam.
“Sebab itulah conference seperti ini, perlu untuk kita dapat mencari ilham, cari panduan supaya kita dapat bangkit dengan satu rumusan supaya kita boleh memperjuangkan apakah sebenarnya perwatakan dan corak Islam yang akan datang,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan rasa syukur dengan keadaan di Pahang dibawah pemerintahan baginda yang mengamalkan dan mempelajari agama Islam secara sukarela.
Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan hasrat membina mahkamah tertinggi syariah di negeri ini bagi memperkasakan agama Islam dan ia sudahkan dicadangkan pada Mesyuarat Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) baru-baru ini.
Mengiringi keberangkatan Paduka Baginda, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

