Oleh : Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 MEI 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa bangga dengan usaha Kerajaan Negeri yang memandang serius dalam mengatasi ketirisan hasil negeri yang berpunca daripada kegiatan kecurian hasil bumi dan pencerobohan tanah kerajaan.
Baginda bertitah ketegasan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang dalam melaksanakan usaha menjaga hasil bumi negeri menyumbang kepada kejayaan tersebut dan ia perlu diteruskan.
“Beta dimaklumkan pada tahun 2023, sebanyak RM2.7 juta kompaun dan denda berjaya dikutip berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM1.5 juta, malah terdapat 15 kes telah dibawa ke muka pengadilan.
“Malah, beta dimaklumkan pentadbiran kerajaan beta pada hari ini tidak lagi mengenakan kompaun terhadap aktiviti pencerobohan tanah kerajaan, sebaliknya mengheret mereka yang didapati melakukan aktiviti tersebut terus ke mahkamah. Syabas dan tahniah atas tindakan yang tegas ini,”titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu baginda dalam titah turut menyentuh berkenaan kejayaan Kerajaan Negeri mengenepikan permohonan 186 pekebun durian musang king di Raub yang memohon untuk semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 24 april lalu.
“Beta berharap agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah. Beta turut berharap Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang akan terus memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang seperti aktiviti rondaan pencegahan, siasatan dan pengumpulan maklumat berkenaan pencerobohan tanah kerajaan,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

