Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 MEI 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy yang berjaya meningkatkan prestasi kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk dua tahun berturut-turut.
Baginda bertitah kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri juga jelas apabila sebanyak 70 peratus hutang kerajaan berjaya dikurangkan daripada RM3.31 bilion kepada RM993.62 juta dalam tempoh lima tahun.
“Beta telah dimaklumkan pada tahun 2023, kerajaan beta telah berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM1.306 bilion melalui pelbagai sumber hasil negeri dengan sumbangan terbesar adalah kutipan hasil tanah yang keseluruhannya berjumlah RM 740.35 juta.
“Malah kutipan hasil kerajaan negeri bagi tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 1.42 peratus lebih tinggi berbanding dengan prestasi jumlah kutipan hasil pada tahun 2022 iaitu RM1.28 bilion.
“Bagi tahun 2024, kerajaan beta telah menetapkan sasaran kutipan hasil secara keseluruhan sebanyak RM1.137 bilion di mana sehingga 30 April lalu, kerajaan beta telah berjaya mengutip hasil secara keseluruhan sebanyak RM298.108 juta iaitu 26.2 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dan beta percaya jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, baginda bertitah agar Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam meningkatkan usaha untuk mengurangkan lagi jumlah hutang tersebut serta memperkukuhkan lagi iltizam untuk melipat gandakan produktiviti dan daya saing.
“Beta berharap prestasi kutipan hasil tahun 2024 bukan sahaja dapat dikekalkan, malah dipertingkatkan lagi sebagaimana yang telah disasarkan.
“Dalam hal ini beta percaya, pentadbiran kerajaan beta amat menitik beratkan perihal tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan integriti setiap anggota pentadbiran kerajaan beta untuk merealisasikan harapan negeri beta sebagai sebuah negeri beretika dan berintegriti tinggi,” titahnya. – PAHANGMEDIA

