Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 MEI 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan rasa bangga dengan kewujudan program tahfiz di negeri ini.
Paduka Baginda bertitah program-program tahfiz di negeri ini dapat melahirkan modal insan cemerlang dari aspek akademik dan kerohanian.
“Bagi sektor pendidikan, kerajaan beta menerusi Yayasan Pahang komited dalam membantu anak-anak Pahang dengan pemberian biasiswa sekolah untuk pelajar sekolah rendah dan menengah sejak 1983 sehingga 2023 melibatkan peruntukan berjumlah RM488 juta yang telah dimanfaatkan oleh 385,000 penerima. Pada tahun 2023 sahaja Yayasan Pahang telah memberi biasiswa kepada 51,000 penerima dengan kos berjumlah RM31.6juta.
“Selain itu, beta turut berbangga dengan usaha mewujudkan program-program tahfiz di negeri ini bagi melahirkan modal nsan cemerlang, baik dari aspek akademik dan juga kerohanian menerusi pendidikan agama bermula dari awal persekolahan sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi.
“Beta dimaklumkan antara program tahfiz yang ada di negeri beta, Tadika Tahfiz Negeri Pahang, Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang, Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang serta Program Tahfiz Mahir,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan rasa bangga dengan penarafan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dalam kedudukan 90 universiti terbaik di Malaysia.
“Dalam pada itu, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) pula akan terus mempergiatkan usaha dalam memperkasakan pendidikan dan pembangunan modal insan. Malah, UniPSAS telah dianugerahkan sebagai universiti berdaya saing dalam penarafan setara 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
“Ini membuktikan kerajaan beta telah berjaya meletakkan UniPSAS setaraf dengan universiti awam yang lain serta tersenarai dalam 90 universiti terbaik di Malaysia,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

