Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang komited dalam pembangunan Pendidikan Islam di negeri ini, bermula dari peringkat awal persekolahan hingga peringkat tertinggi pendidikan.
Ini dapat dilihat dengan penubuhan institusi pendidikan Islam di negeri ini, bermula dari peringkat tadika seperti tadika tahfiz, sekolah rendah tahfiz dan,18 buah sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam, dan Universiti Islam Sultan Ahmad Shah Pahang (UnIPSAS).

Justeru itu, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang menganjurkan International Conference On Contemporary Education In The Islamic World (ICCEIW) yang julung kali diadakan melibatkan dengan negara-negara Islam.
“Daripada negara-negara yang terlibat, mereka akan membentangkan kementerian yang berkaitan dengan Islam di negara masing-masing.
“Dari situ akan ada perbandingan dan sebagainya. Kita juga akan berkongsi apa yang mereka buat dan mungkin kita akan cuba di negeri kita,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan International Conference on Contemporary Education in Islamic World (ICCEIW) di Hotel Grand Darul Makmur sini hari ini.

Turut hadir ialah Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Penganjuran ini melibatkan organisasi peringkat antarabangsa disertai oleh 300 peserta antarabangsa dengan kerjasama UnIPSAS, Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Kesatuan Universiti-universiti Islam Sedunia (Rabitah al-Jamiat al-Islamiyyah).
Persidangan ini dilaksanakan bertujuan untuk menyediakan satu dimensi baru perbincangan ilmu dalam bidang-bidang ilmu terutama bidang pendidikan.
Pelbagai tema yang bersifat holistik dan integratif dibuka untuk dibincangkan dengan harapan memberi kesan positif kepada usaha-usaha pembangunan Islam dan akademik ummah.
Dalam pada itu, beliau juga berkata gabungan daripada 22 buah negara ini juga untuk memajukan dan memperkembangkan lagi pendidikan islam di negeri ini.
“Kita juga telah meluluskan 14 enakmen di sidang dewan yang berkaitan semua untuk menjaga dan kepentingan Islam di negeri kita,” katanya. -PAHANGMEDIA

