Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Norhilmi
KUANTAN, 05 MEI 2024 : Seramai 290 petugas daripada pasukan tentera yang bertugas pada istiadat pembukaan Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 diraikan buat julung kalinya dalam satu majlis makan malam oleh Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, majlis makan malam ini merupakan tanda Kerajaan Negeri Pahang menghargai jasa dan sumbangan bakti yang diberikan oleh pasukan tentera bertugas.
“Kita meraikan anggota pasukan tentera kita yang setiap tahun terlibat di dalam Majlis Perasmian Pembukaan Dewan Undangan Negeri Pahang yang mana kita ada kawad kehormat sebelum Kebawah Duli Tuanku Sultan masuk ke dewan.
“Jadi pada malam ini kita meraikan mereka seramai 290 orang yang telah berada di sini dua hari lepas bagi rehearsal (Ahad), dan istiadat sebenar pada Isnin.
“Ini (majlis) merupakan julung kali kita buat dan kita merancang untuk mengadakan majlis sama pada setiap tahun kerana mereka (pasukan bertugas) akan sentiasa bertukar anggota,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Bersama-sama Pasukan Tentera Sempena Isitiadat Pembukaan Penggal Ke-3 Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Swiss-Belhotel.
Turut hadir, YH. Mulia Tok Muda Lt. Kol. Tengku Dato’ Mohd Najirulzaman Tengku Dato’ Jamaluddin; Timbalan Panglima Tentera Udara Markas Tentera Udara Kuala Lumpur, YBhg. Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Muhammad Norazlan Aris; dan Panglima Wilayah Udara 1 Markas Wilayah Udara 1 Kuantan, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Mahadzer Amin.
Hadir sama, Komander Pengkalan Udara Kuantan, Tuan Brigeder Jeneral Wan Azwan Azwari Wan Ali; Pengarah Sekretariat Markas Tentera Udara Kuala Lumpur, Tuan Kolonel Abdul Aziz Abdul Rahman; wakil Panglima 4 Briged Mekanize Markas 4 Brifed Mekanize Kem
Batu 10 Kuantan, Tuan Leftenan Kolonel Ahmad Zakhuan Yahya; dan YH. Tok Muda Dato’ Bahazelan Osman.
Menurut beliau lagi, majlis ini juga merupakan salah satu cara Kerajaan Negeri Pahang membina hubungan baik bersama anggota terlibat selain dapat mengenal lebih dekat para petugas.
“Selama ini kita hanya tengok mereka dari jauh sahaja semasa acara, selepas acara di mana mereka buat hal mereka, begitu juga kita. Tetapi dengan majlis ini kita dapat mengeratkan silaturahim.
“Kita di peringkat atas, bersama pegawai-pegawai pemerintah, kita memang rapat apabila bersama dalam program, bertemu ketika majlis dan sebagainya. Tetapi di peringkat bawah ini kita jarang bertemu mahupun berhubung,” katanya.
Pasukan TUDM turut terlibat di dalam istiadat pembukaan Sidang DUN Pahang disebabkan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah merupakan Kolonel Yang DiPertua Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM). -PAHANGMEDIA

