Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 30 APRIL 2024 : Kerajaan Pahang melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) terus bertindak tegas terhadap aktiviti pencerobohan hutan di negeri ini dengan menahan dua pekebun haram musang king dalam Ops Sekat di Sungai Ruan di sini hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Mohd Shahril Abd Rahman, kedua-dua individu berkenaan ditahan kerana disyaki mengusahakan kebun durian Musang King secara haram ketika operasi dijalankan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Benom.

“Hari ini kita telah mengadakan ops bersepadu yang dinamakan Ops Sekat yang melibatkan beberapa agensi iaitu UPNP, Pejabat Perhutanan, dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Ketika rondaan tengah hari tadi, kita telah menahan seorang perempuan warga tempatan berusia 76 tahun dan seorang lelaki warga asing yang sedang melakukan kerja-kerja kebun, membaja di kawasan tersebut.
“Kedua-dua mereka akan dituduh di bawah Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang boleh dikenakan denda maksima RM10,000 dan/atau dipenjarakan maksima tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan mengemukakan laporan berkenaan sekatan yang dilakukan oleh sekumpulan lelaki ketika operasi dijalankan.

“Mereka juga telah melakukan kesalahan menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas di mana semasa UPNP dan Pejabat Hutan ingin membawa keluar mereka yang ditahan, telah berlaku provokasi dan juga halangan salah.
“Kumpulan lelaki ini telah mengugut yang mana mereka akan membuat halangan menggunakan kenderaan yang banyak supaya kita tidak dapat membawa keluar dua individu ini.
“Jadi kita akan membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana telatelah menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pekebun supaya akur dengan arahan pihak berkuasa dan menghormati perintah yang dikeluarka oleh mahkamah. -PAHANGMEDIA

