Oleh : Fairus Mohd & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 30 APRIL 2024 : Kerajaan Negeri Pahang dalam mempersiapkan tenaga kerja berkemahiran untuk memenuhi keperluan pelaburan, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama Yayasan Pahang dalam menganjurkan siri Bengkel Kolaborasi Industri-Akademia (IAC).
Dengan kemasukan pelaburan ke Wilayah Pantai Timur yang bernilai RM41.4 bilion melalui Pelan Induk ECER 2.0, ia telah mewujudkan 68,000 peluang pekerjaan untuk bakat tempatan.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata kerjasama rentas agensi antara TalentCorp dan Yayasan Pahang ini dapat membina tenaga kerja sedia industri masa hadapan.
“Dalam menghadapi cabaran dan peluang semasa, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pahang memperlihatkan komitmen yang kukuh dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi untuk menyokong matlamat pertumbuhan dan kemakmuran Pahang serta Malaysia secara keseluruhannya.
“Kita perlu terus mencari ruang dan peluang untuk meningkatkan tenaga kerja profesional dan kompeten dari kalangan rakyat tempatan, melalui pendidikan teknikal dan vokasional (TVET),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Bengkel Kolaborasi Industri-Akademia (IAC) Pahang di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato Indera Mahmud Mohd Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Talent Corporation Malaysia Berhad, Encik Thomas Mathew, Pegawai Pelaburan Perniagaan Negeri Pahang, YH. Dato’ Kamarul’arifin Ahmad @ Abd Rahman, Pengarah PERKESO Negeri Pahang, Encik Hisham Abdul Rahman, dan ketua-ketua jabatan.
Dalam pada itu, lebih daripada 100 peserta daripada Industri, Akademia, Agensi Kerajaan Pusat dan Negeri membincangkan hala tuju bakat muda dalam memenuhi keperluan ekonomi terutamanya dalam sektor Logistik, Pelancongan, Pembuatan (Agrikultur dan Automotif) serta Minyak dan Gas.
Beliau turut berkata meskipun kadar pengangguran pada Februari 2024 yang lepas menunjukkan kestabilan pada 3.3 peratus, kita tidak boleh mengabaikan ketidakpadanan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja yang mengakibatkan guna tenaga tidak penuh (Underemployment).
“Ini adalah satu aspek penting yang masih perlu diberi perhatian dalam pasaran pekerjaan,” katanya.
Dalam kesempatan itu, beliau turut menyeru kepada semua pihak agar usaha berterusan dan kerjasama antara Industri dan Akademia diperkukuhkan bagi membentuk tenaga kerja yang berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa dan masa depan industri. -PAHANGMEDIA

