Oleh : Fansurina Abdullah
LIPIS, 6 APRIL 2024 : Kerajaan Pahang akan mengambil tindakan jangka pendek bagi menyelesaikan isu sampah sarap yang memenuhi laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) setiap kali tiba musim perayaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, masalah sampah di LTU itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan tindakan tertentu harus diambil sementara menunggu kawasan Rawat Dan Rehat (R&R) siap yang akan mengambil sedikit masa.
“Mungkin ada usaha dalam jangka masa pendek untuk menyelesaikan masalah ini termasuk kita akan minta pihak berkaitan untuk pantau perkara tersebut supaya boleh membantu perkara yang perlu.
“Majlis Daerah atau Pejabat Daerah boleh fikir bagaimana untuk atasi isu ini, mungkin tidak menyelesaikan tapi sekurang – kurangnya meminimumkan masalah yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis, pagi tadi.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Lipis, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, YH. Dato’ Suhaimi Mohd Yunus, Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim dan Pegawai Agama Islam Daerah Lipis, Al-Fadhil Ustaz Mohd Zainuddin Zakaria Al-Hafiz.
Pada majlis itu, seramai 276 peserta Rancangan Penempatan Semula (RPSK) Merapoh, Jerkoh dan Peruang menerima RM700 setiap seorang.
Turut disampaikan ialah sumbangan kewangan kepada tiga masjid daerah di Lipis, Raub dan Cameron Highlands serta 10 masjid dalam rancangan sosial PKPP di Lipis dengan jumlah keseluruhan RM10,500, sumbangan tabung JPKK RPSK Merapoh, Peruang dan Jerkoh, penyerahan bayaran cukai tanah PKPP berjumlah RM1.371 juta, sumbangan kepada Maahad Tahfiz Ar-Rushd sebanyak RM20,000 oleh LCSB dan penyampaian cek sumbangan Kerajaan Negeri kepada sembilan penerima berjumlah RM323,200.
Dalam pada itu, beliau berkata, isu sampah di LTU itu juga telah dibangkitkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihaknya yakin ianya dalam proses tindakan.
Kerajaan Pahang juga tidak bercadang untuk mengenakan sebarang tindakan kepada pengguna jalan raya yang membuang sampah di laluan berkenaan dan menyifatkan tindakan itu tidak adil buat mereka.
Hal ini kerana tiada sebarang kemudahan yang disediakan kepada pengguna LTU termasuklah kawasan R&R.
“Kalau kita sediakan kemudahan dan mereka tidak patuh maka boleh kita kenakan tindakan.
“Tapi ini kita tidak sediakan kemudahan, jadi kalau ada anak-anak yang hendak terkencing sebab menempuh perjalanan yang jauh macam mana nak buat dan mereka tidak ada pilihan,” katanya. – PAHANGMEDIA

