Oleh : Fansurina Abdullah
RAUB, 5 APRIL 2024 : Orang ramai yang menggunakan Lebuhraya Karak dan laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bagi pulang ke kampung pada musim perayaan ini dicadang agar memilih untuk berhenti di tiga lokasi hentian untuk berhenti rehat.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, tiga lokasi hentian itu ialah di exit Bentong (selepas Tol Bentong), Lebu (exit Lebu di LTU) dan UiTM Raub (exit Raub di LTU).
“Saya hendak cadang bagi yang mengantuk dan hendak berhenti (rehat) itu satu selepas tol Bentong boleh exit Bentong, banyak persinggahan di sana.
“Yang kedua boleh exit Lebu dan yang ketiga boleh exit UiTM Raub, jadi ada tiga exit, tiga pilihan untuk berehat seketika sebelum menyambung semula perjalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran “Op Balik Kampung” Sempena Perayaan Aidilfitri Kontinjen Pahang 2024 yang dirasmikan oleh Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Yahaya Othman di Batu 3, LTU – Raub Bypass di Raub.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Raub, Tuan Mohd Khuzaidi Harun, barisan pegawai-pegawai polis dan ketua-ketua jabatan.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Yahaya berkata, bagi pengguna LTU yang menghadapi kecemasan dan terpaksa berhenti di tepi jalan LTU perlu memastikan keselamatan tempat berhenti kenderaan terlebih dahulu.
Dalam pada itu, bagi meningkatkan rondaan di kawasan perumahan pada musim perayaan, orang ramai diminta untuk mengisi Borang Maklumat Balik Kampung di balai polis berdekatan atau pun boleh memuat turun melalui portal rasmi PDRM atau menerusi aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP). – PAHANGMEDIA

