Oleh : Fansurina Abdullah
LIPIS, 6 APRIL 2024 : Kerajaan Pahang berjaya mengurangkan tunggakan kutipan hasil seperti hasil tanah daripada RM160 juta pada tahun 2022 kepada RM53 juta pada tahun lalu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu diumumkan pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
“Pada tahun 2022, kita mempunyai tunggakan hasil sebanyak RM160 juta, yang Kerajaan Negeri tak dapat kutip, tapi baru ni yang dibentang saya pun terkejut juga, kita cuma tinggal dalam RM53 juta lagi tunggakan yang perlu kita kutip.
“Jadi sudah pastilah sebagai tanda menghargai perkhidmatan cemerlang mereka, kita bagilah apa yang kita boleh bagi, sebulan setengah bonus, kita panggil bantuan kewangan dan RM1,000 untuk bantuan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan 1, Lipis, petang tadi.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Negara, YB Senator Dato’ Aziz Sitin, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, YBrs. Encik Khairul Amril Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Orang Asli Corporations (ORACO), YH. Dato’ Olian Abdullah, Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim dan pemimpin setempat.
Pada majlis itu, seramai 30 penerima telah mendapat cek sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM113,500 bagi pelbagai keperluan termasuklah pendidikan, rawatan perubatan dan pertanian.
Turut disampaikan ialah sumbangan kepada lima petugas dan 24 pelatih Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permata Kasih Jelai.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut memberikan sumbangan kepada 50 penerima di kalangan ketua keluarga peserta Agropolitan Gahai yang menerima wang tunai RM100 dan barangan bernilai RM50.
Turut diberikan ialah insentif perkahwinan kali pertama Orang Asli kepada 97 pasangan Orang Asli yang menerima RM300 bagi setiap pasangan.
Pada program itu juga turut diadakan Jualan Makmur yang merupakan komitmen Kerajaan Negeri kepada orang ramai khususnya penduduk di Sungai Koyan.
Selepas itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkesempatan berbuka puasa bersama-sama warga Maahad Tahfiz Ar-Rusyd, Tanjung Gahai. – PAHANGMEDIA

