Oleh : Fansurina Abdullah
TEMERLOH, 26 MAC 2024 : Kadar kes perceraian di Negeri Pahang mencatatkan penurunan sebanyak 10.73 peratus kepada 3,137 kes pada tahun 2023.
Pengarah Jabatan Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz berkata, meskipun kadar perceraian menurun namun jumlah pasangan suami isteri yang mendaftar untuk mendapatkan khidmat nasihat meningkat sebanyak 29 peratus kepada 682 kes.
“Selepas PKP kadar pernikahan berkurang dan perceraian juga menurun, itu bagus, yang keduanya khidmat nasihat kita bertambah makna masyarakat dah tahu di mana hendak selesaikan masalah, tempat rujukan dan sebagainya.
“Jadi usaha kita nampak bertambah baik dan sangat membantu masyarakat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan One-Off Tahunan Perjawatan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Pahang Tahun 2024 yang diadakan di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim di sini hari ini.
Bantuan one-off itu telah disampaikan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga JAIP, YBhg. Ustaz Mohd Rasmawi Harun, Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, YBhg. Tuan Haji Mohd Rizal Ali Nafiah, Ketua-Ketua Jabatan dan pemimpin setempat.
Pada majlis itu, seramai 290 wali hakim dari seluruh Pahang telah menerima bantuan one-off tahunan RM500 seorang dengan jumlah keseluruhan RM145,000.
Selain kadar perceraian dan khidmat nasihat, pasangan yang rujuk juga meningkat sebanyak 3.15 peratus (540 kes), kadar perkahwinan turun 15.5 peratus (11,672 kes) manakala kebenaran berkahwin juga menurun sebanyak 15 peratus kepada 18,218 pendaftaran. – PAHANGMEDIA

