Oleh : Fansurina Abdullah
TEMERLOH, 26 MAC 2024 : Kerajaan Pahang membina sebuah Maahad Tahfiz khusus untuk saudara baru yang memeluk agama Islam di Bukit Ibam, Muadzam Shah.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, institusi itu kini dalam proses pembinaan dan dijangka mengambil masa kira-kira satu tahun sebelum bakal beroperasi sepenuhnya.
Jelasnya, maahad tahfiz ini merupakan antara tiga maahad tahfiz yang ada di Pahang selain Maahad Tahfiz Tanjung Lumpur dan Maahad Tahfiz di Lipis yang juga sedang dalam pembinaan.
“Yang terbaru kita sedang dalam proses pembinaan Maahad Tahfiz Turath cawangan di Padang Tengku, Lipis dan satu lagi Maahad Tahfiz Saudara Baru di Bukit Ibam, Muadzam.
“Di Bukit Ibam kita akan mengambil pelajar di kalangan saudara baru tetapi kebanyakan saudara baru kita ialah Orang Asli, tetapi saudara baru di kalangan Cina dan India juga dialu-alukan untuk mendaftar di maahad tahfiz ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan ‘One-Off’ Tahunan Perjawatan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam di Dewan Datuk Zaharudin Abu Kasim di Temerloh.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga JAIP, YBhg. Ustaz Mohd Rasmawi Harun, Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, YBhg. Tuan Haji Mohd Rizal Ali Nafiah, Ketua-Ketua Jabatan dan pemimpin setempat.
YB. Dato Sri Syed Ibrahim berkata, maahad tahfiz di Pahang turut menggabungkan modul Latihan Kemahiran dari Kolej Yayasan Pahang Advanced Skill (KYPAS) dan modul Pendidikan Al-Quran seperti Talaqqi, Tahsin, Tahfiz dan Tadabburdari Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP).
Pada majlis itu, seramai 290 orang petugas sukarela di bawah perjawatan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam negeri ini menerima sumbangan sebanyak RM 500 setiap orang dan peruntukan keseluruhan berjumlah RM145,000. – PAHANGMEDIA

