Oleh : Fansurina Abdullah
TEMERLOH, 26 MAC 2024 : Kerajaan Pahang di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail amat mengambil berat terhadap sukarelawan agama di Negeri Pahang.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, hal ini dapat dilihat apabila kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan berkenaan terutama dalam pemberian sumbangan dan bantuan.
“Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang memang ambil perhatian dalam soal kebajikan golongan atau kumpulan sasar yang bertugas dalam sukarelawan agama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan One-Off Tahunan Perjawatan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Pahang Tahun 2024 yang diadakan di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga JAIP, YBhg. Ustaz Mohd Rasmawi Harun, Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, YBhg. Tuan Haji Mohd Rizal Ali Nafiah, Ketua-Ketua Jabatan dan pemimpin setempat.
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, antara sukarelawan agama lain yang giat menjalankan kerja-kerja agama di Pahang ialah guru Al-Quran asrama, guru takmir, guru KAFA dan Amil Zakat Fitrah.
Pada majlis itu, seramai 290 wali hakim dari seluruh Pahang telah menerima bantuan one-off tahunan RM500 seorang dengan jumlah keseluruhan RM145,000.
Sumbangan ini diberikan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh penerima dalam menjaga salah satu maqasid syariah iaitu penjagaan keturunan.
Pemberian ini juga bertujuan menjaga kebajikan perjawatan agar dapat meringankan bebanan peningkatan kos sara hidup pada ketika ini.
Pada majlis sama turut dilancarkan Majalaj Usrati 2022/2023 terbitan Bahagian Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Pahang. – PAHANGMEDIA

