Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 18 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar kepimpinan di semua peringkat sama ada di negeri dan daerah memberi kerjasama, komitmen dan kesetiaan kepada baginda untuk pembangunan serta menjaga kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Saya tidak mahu ada seorang hero (Sultan) semata-mata di Pahang. Saya tidak ingin menjadi hero tetapi saya mahu menjadi seorang sultan yang bertanggungjawab membela kesusahan dan permasalahan rakyat.
“Saya tahu potensi negeri Pahang sangat besar, selagi saya ada kudrat ‘ I’m not gonna waste my time’. Bersamalah kita membangunkan negeri Pahang, anggaplah ini cabaran untuk semua pemimpin di semua peringkat dan untuk saya juga,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan bercemar duli mendengar persembahan Taklimat Pembagunan Daerah Temerloh di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, hari ini.
Turut berangkat mengiringi baginda adalah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda berkenan mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli mengenai pembangunan dan pencapaian di daerah berkeluasan 2,272 kilometer persegi yang mempunyai 174,600 penduduk itu.
Hadir sama YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta pemimpin di peringkat negeri dan daerah.
Sementara itu baginda menyentuh berkenaan keperluan nilai tambah di daerah Temerloh termasuk pengurusan tanah dan rumah untuk penduduk setempat.
“Daerah Temerloh dan Mentakab mempunyai potensi yang besar dengan adanya jajaran ECRL, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), Lingkaran Tengah Utama (LTU) maka lebih ramai pelancong boleh datang ke sini.
“Banyak kemudahan yang ada namun mesti ada kemajuan. Sebagai contoh Pekan Sehari Temerloh berusia 150 tahun, perlu diberi nilai tambah.. mungkin boleh cantikkan kawasan, perbanyakkan kemudahan untuk memberi nilai terhadap keistimewaan yang ada, jadi ia bukan hanya terkenal dalam negara kita sahaja tapi juga di seluruh dunia,” titah baginda.
Dalam pada itu baginda turut berharap agar masalah air di negeri ini diatasi dengan baik melalui cadangan dan usaha yang dijalankan selain isu keperluan rumah di kalangan rakyat Pahang yang perlu diutamakan. -PAHANGMEDIA

