Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 18 JANUARI 2024 : Kerajaan Pahang sedang membuat persediaan untuk mengangkat Lipis sebagai UNESCO (Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu) Global Geopark menjelang 2026.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata perancangan ini dapat diteruskan sekiranya semua syarat dan kriteria yabg diperlukan dapat dipenuhi.
“Dalam pada itu, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tunku turut merancang untuk meneruskan usaha dengan membuat persediaan mengangkat Lipis sebagai UNESCO Global Geopark menjelang 2026.
“Sekiranya semua syarat-syarat dan kriteria yang diperlukan dapat dipenuhi, hasrat untuk menjadikan Lipis sebagai UNESCO Global Geopark akan tercapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika persembahan ucapan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Majlis Pemasyhuran Lipis Sebagai Geopark Kebangsaan di Tree Top Walk Taman Negara, Sungai Relau.

Turut hadir, YB. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau berkata pelaksanaan Lipis Geopark adalah selari dengan draf perancangan Blueprint Pahang Destinasi Warisan Dunia 2024-2028.
“Ia untuk menjadikan Negeri Pahang Darul Makmur destinasi bertaraf dunia, bagi pengiktirafan tapak berjenama UNESCO di bawah kategori World Heritage Site (WHS), Man and Biosphere Reserve (MAB) dan UNESCO Global Geopark (UGGp).
“Menerusi blueprint ini, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, telah merancang untuk membentuk strategi baharu pelancongan negeri dan membina persepsi awam mengenai keunikan dan keprihatinan untuk menjaga warisan.
“Pengiktirafan ini tidak bermakna sebarang bentuk pembangunan tidak boleh dilaksanakan di daerah Lipis. Malah semua pembangunan seperti mana yang dirancang di daerah ini, masih boleh diteruskan dengan memberi tumpuan kepada pendekatan pembangunan secara lestari,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan secara lestari ini juga adalah selari dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, agar setiap projek pembangunan di Negeri Pahang Darul Makmur hendaklah dilaksanakan berpandukan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).
“Dalam pada itu, menerusi agenda Geopark juga, ia akan dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi rakyat, khususnya melibatkan industri pelancongan dan pembangunan produk berinovasi atau geoproduk.
“Agenda Global Geopark telah mula diperkenalkan oleh UNESCO pada tahun 2004 dan ia telah mendapat perhatian warga antarabangsa. Dan sehingga kini terdapat 195 Global Geopark di 48 negara dunia.
“Manakala di Malaysia, agenda Geopark bermula pada tahun 2015, apabila Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu memperkenalkan program Geopark Kebangsaan. Dan pada hari ini, negara kita telah memiliki dua Global Geopark iaitu Global Geopark Langkawi dan Global Geopark Kinabalu, serta 11 Geopark Kebangsaan.
Menurut beliau, kawasan Lipis Geopark seluas 5,408 kilometer persegi merupakan Geopark Kebangsaan termuda dan terbesar di Malaysia buat masa ini.
“Dan antara kawasan yang diangkat sebagai tapak Geopark Kebangsaan ini ialah Galeri Aspirasi Lipis Geopark, Geotapak Bernilai Kebangsaan dan Geotapak Bernilai Geopelancongan,” katanya.
Usaha untuk menjadikan daerah Lipis sebagai Geopark Kebangsaan yang telah dimulakan sejak tahun 2022 telah berkuatkuasa pada 9 November 2023 menerusi Mesyuarat Geopark Kebangsaan. -PAHANGMEDIA

