Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 18 JANUARI 2024 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya Kerajaan Negeri Pahang memberikan tumpuan khusus berkenaan kelestarian alam sekitar dalam melaksanakan pembangunan.
Seri Paduka Baginda menitahkan supaya pembangunan yang dijalankan di negeri ini perlu berlandaskan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Di sini saya nak mengingatkan kepada Kerajaan Negeri dalam kita berusaha untuk mencari sumber-sumber hasil negeri, Kerajaan Negeri Pahang, saya harap elemen-elemen berkaitan dengan kelestarian alam dan berkaitan alam sekitar ini perlu diberi keutamaan.

“Dalam pada itu saya harap dalam kita memajukan negeri ini kita perlu menjaga hasil mashul, khazanah alam sekitar kita ini. Kita tidak boleh berkompromi lagi.
“Seperti mana yang dimaklumkan oleh Menteri Besar tadi iaitu kawasan-kawasan yang mana telah diisytihar oleh UNESCO sebagai kawasan eco friendly ini boleh juga dibangunkan tapi berlandaskan kepada kaedah ESG dan yang berlandaskan kelestarian alam sekitar,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Lipis Sebagai Geopark Kebangsaan di Tree Top Walk Taman Negara, Sungai Relau.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, dan YB. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Baginda turut bertitah supaya kawasan bandar turut diberi perhatian bagi tujuan memperindah dan pembersihan sama seperti yang dilakukan di kawasan luar bandar.
“Kawasan-kawasan bandar juga perlu dipercantikkan, dibersihkan. Kita tidak mahu adanya usaha untuk mengekalkan alam sekitar tapi di bandar ada kawasan yang kotor dan tidak bersih.

“Dan ini saya harap perlu diberi lebih perhatian dan wajib. Ini sesuai dengan kehendak agama Islam.
“Saya bila balik ke Pahang nanti, saya akan melawat setiap daerah, setiap bandar supaya menentukan bandar ini berada di dalam keadaan yang bersih dan sihat. Saya tidak mahu adanya segala penyakit ada di negeri Pahang ini,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan supaya Negeri Pahang dapat menjadi contoh kepada negeri lain dalam kelestarian alam sekitar ini.
“Kita jangan terlalu gila sangat nak pembangunan tetapi biarlah secara sederhana dan secara berperingkat. Kita tidak mahu ada bangunan terlampau tinggi dan sekelip mata tapi biarlah berfasa-fasa.
“Kita tak mahu masalah udara kotor, masalah kesesakan lalu lintas, dan pelbagai lagi masalah. Kita tak mahu masalah yang terdapat di negeri maju, terdapat di Pahang,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

