Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 18 JANUARI 2024 : “Berucap ini lagi senang dari baca berita. Saya macam kaku sahaja semalam,” kongsi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Seri Paduka Baginda secara peribadi berkongsi pengalaman pertama kali membaca berita semalam di Buletin Utama bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
“Sebelum saya lafaz perasmian, izinkan saya berucap. Berucap ini lagi senang dari baca berita. Baca berita semalam begitu sahaja. Saya tengok semalam, saya macam kaku.
“Permaisuri agak rileks, mungkin dia (Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong) dah practice banyak kali.
“Tapi yang sebenarnya ramai yang tak tahu dalam bilik itu (bilik berita) begitu sejuk sekali. Kalau tak percaya eloklah melawat ke bilik berita TV3,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda berdua telah berkenan mencemar duli membaca tiga berita selama hampir 15 minit di Media Prima semalam.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian sebelum berkenan menyempurnakan titah perasmian Majlis Pemasyhuran Lipis Sebagai Geopark Kebangsaan di Tree Top Walk Taman Negara, Sungai Relau.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, dan YB. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Baginda dalam titah, turut berkongsi pertemuan bersama penduduk kampung yang pernah bermain bola sepak bersama baginda suatu ketika dahulu.
“Saya begitu bersyukur dapat sampai ke Lipis dan telah berkesempatan menziarahi di kawasan Merapoh. Dapat bertemu juga dengan orang kampung di situ.
“Saya begitu terharu apabila sebahagian daripada penduduk di situ masih ingat saya main bola. Saya tak berapa ingat sangat (butiran) tetapi ada orang kampung yang mengingatkan saya.
“Dia mengaku dia pernah bentes saya sewaktu bermain bola di sini. Saya tak ingat tahun berapa, saya muda lagi. Dan saya begitu terharu dengan ingatan orang kampung di sini dan saya telah menyatakan saya akan kembali dan akan membawa anak saya bermain bola di situ suatu hari nanti,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

