Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 15 JANUARI 2024 : Seramai 36 imam daripada Negara China yang menyertai ‘Imam Fam Trip : Discover Muslim – Friendly Malaysia’ mengiktiraf pengurusan dan pentadbiran Islam di Negeri Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, ini merupakan penghargaan dan pengiktirafan kepada Kerajaan Negeri yang bijak mentadbir dan menguruskan negeri berpaksikan kepada Islam.

“Ini adalah satu pengiktirafan kepada Kerajaan Negeri Pahang, kita berbangga mereka (Imam China) memilih untuk melihat amalan dan pengurusan Islam di negeri ini dan saya ucapkan terima kasih kepada Islamic Tourism Centre (ITC) dan Tourism Pahang kerana bekerjasama dalam program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan Solat Zohor bersama delegasi ‘Imam Fam Trip : Discover Muslim – Friendly Malaysia’ yang singgah di Masjid Sultan Ahmad Shah Bentong, tegahari tadi.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Bentong, YB. Puan Young Syefura Othman, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man dan Pengurus Besar Tourism Pahang, YBrs Encik Kamaruddin Ibrahim.
YB. Fadzli berkata, selain masjid terdapat banyak lagi produk-produk yang boleh diperkenalkan antaranya Maahad Tahfiz di bawah kelolaan Yayasan Pahang, sekolah pondok dan macam-macam lagi yang diurus tadbir oleh Kerajaan Pahang dari sudut pelancongan muslim ini.
Menurut YB. Cik Leong Yu Man, esok Pahang akan menerima satu lagi rombongan muslim dari Negara China yang akan melawat ke beberapa lokasi berasaskan Islam dan produk halal di Pahang. – PAHANGMEDIA

