Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 15 JANUARI 2024 : Pembukaan Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan Barat yang baharu diharap lebih memudahkan urusan orang ramai di kawasan berkenaan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana sebelum ini pejabat sedia ada tidak dapat menampung kawasan yang terlalu besar.
“Saya ucapkan syabas tahniah kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kerana telah merealisasikan Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan Barat.

“Ini secara tidak langsung akan memudahkan urusan harian kerana dulu Kuantan ini terlalu besar, sekarang ini kita bagi kepada dua. Ia membolehkan Jabatan Agama Islam terutamanya Pejabat Agama Islam Pahang Barat lebih fokus untuk menjalankan tugas mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan kunci pejabat baharu Pejabat Agama Islam daerah Kuantan Barat di Jaya Gading.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Beliau turut berharap pejabat baharu ini dapat memberikan keselesaan kepada kakitangan pejabat yang bertugas serta orang ramai yang menggunakan khidmat jabatan berkenaan.
“Jadi harapan saya, supaya mereka lebih berdedikasi, bersemangat, dan menjalankan tugas dengan cemerlang. Jadi ini adalah kemudahan dan saya percaya Pejabat Agama yang baru ini dapat memberikan keselesaan kepada mereka untuk menjalankan tugas,” katanya. – PAHANGMEDIA

