KUANTAN, 15 JANUARI 2024 : Kerajaan Pahang bersama Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah bersetuju agar UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) terus dikekalkan di Muadzam Shah, Rompin.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama ketiga-tiga pihak yang dipengerusikan oleh beliau di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
“Dalam perbincangan tersebut pihak UNITEN juga turut bersetuju untuk mengekalkan 13 kursus di kampus berkenaan serta tidak menawarkan kursus yang sama di UNITEN kampus Bangi.
“Malah, pihak pengurusan universiti itu juga akan berusaha untuk menambah bilangan pelajar terutamanya pada sesi pendaftaran pelajar pada bulan Februari tahun ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Katanya, bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang, beliau rasa bersyukur kerana isu ini telah mencapai kata sepakat dan dimuktamadkan secara bersama.
“Malah, Kerajaan Negeri juga bersedia untuk membantu UNITEN bagi memastikan kampus berkenaan terus kekal di Muadzam Shah yang menjadi pemangkin kepada pembangunan pesat di kawasan berkenaan.
“Saya berharap selepas ini tidak timbul lagi isu universiti ini hendak ditutup dan semua pihak akan berganding bahu bagi memastikan UNITEN di Muadzam Shah terus maju dan berkembang serta menjadi pilihan pelajar untuk melanjutkan pengajian,” katanya. – PAHANGMEDIA

